Beberapa hari lepas, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan senarai 25 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022.
Pemain sayap JDT, Safawi Rasid adalah antara nama yang turut dipanggil memperkuatkan pasukan dan beliau tidak sabar untuk kembali semula berlatih dengan rakan sepasukan setelah lebih setahun tidak bersama.
Pada tahun 2019, Safawi beraksi cemerlang pada perlawanan menentang Indonesia apabila menjaringkan dua gol untuk memastikan Malaysia berada di kedudukan kedua dalam kumpulan G.
Pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 yang akan datang, beliau tekad memastikan posisi sayap kanan menjadi miliknya untuk membantu pasukan negara raih tiket automatik ke Piala Asia 2023.
“Sudah tentu seorang pemain nak bagi segalanya untuk pasukan, jadi bagi saya, dalam keadaan sekarang saya tidak sabar nak berlatih balik dengan pasukan,” katanya dalam Bernama.
30' GOL!!!!!! ⚽️ Sepakan percuma Safawi Rasid terus menerjah jaring!
Malaysia 1 🇲🇾 vs. 0 🇮🇩 Indonesia #MASvIDN #WCQ #AsianQualifiers #HarimauMalaya pic.twitter.com/Vu4p7nX8w6
— Twt_BukitJalil 🏟 (@twt_bukitjalil) November 19, 2019
Selain Safawi, 3 lagi pemain sayap yang turut dipanggil ialah Mohamadou Sumareh, Arif Aiman dan Akhyar Rashid. Kehadiran ramai pemain berkualiti akan memberi banyak pilihan kepada jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk membentuk barisan yang mantap.
“Jurulatih Tan pun mungkin pening kepala untuk pilih siapa terbaik di sebelah kanan, bagi saya kalau boleh belah kanan, saya nak ‘tanam’ lah belah itu,” jelas Safawi.
Skuad Harimau Malaya akan mula turun menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil selama empat hari bermula 16 hingga 19 Mei 2021 sebelum terbang ke Dubai pada 20 Mei bagi perlawanan persahabatan pertama bertemu Kuwait di sana pada 23 Mei 2021.
Kemudian pada 25 Mei 2021, skuad Harimau Malaya akan terbang pula ke Manama, Bahrain bagi perlawanan persahabatan kedua bertemu Bahrain di sana pada 28 Mei 2021 dan kembali ke Dubai pada 31 Mei bagi persediaan terakhir menghadapi baki tiga perlawanan kelayakan.
Malaysia akan bertemu UAE di Stadium Zabeel, Dubai pada Khamis, 3 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia) diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai pada Jumaat, 11 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum pada Selasa, 15 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia).
Baca artikel lain mengenai perkembangan Harimau Malaya melalui pautan dibawah.
Kuwait Dan Bahrain Uji Kekuatan Harimau Malaya Sebelum Kelayakan Piala Dunia 2022
Tiga Pemain Beraksi Di Luar Negara Bakal Perkuatkan Skuad Harimau Malaya