Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengesahkan pasukannya akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang dua pasukan dari negara asia barat sebelum menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 pada bulan Jun ini.
Menurut laporan daripada Sinar Harian, dua negara itu ialah Bahrain dan Kuwait. Kedua-dua pasukan ini pernah dijadualkan menentang Harimau Malaya pada tahun lepas namun ia terpaksa ditunda disebabkan oleh wabak COVID-19.
“Kami pilih Bahrain kerana gaya serta corak permainan mereka sama dengan UAE termasuk dari segi saiz pemain. Malah, satu lagi pasukan yang akan menguji pasukan kita juga dari Asia Barat.
“Kami bukan tidak mahu aksi persahabatan dengan pasukan dari negara ASEAN tetapi corak permainan mereka termasuk saiz pemain hampir sama dengan pemain-pemain negara.
“Jadi sebaiknya kami menentang pasukan dari Asia Barat kerana ia akan menguji kekuatan pasukan negara. Lagipun kami perlu juga menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sana,” kata Cheng Hoe.
Semua pemain akan dikumpulkan dalam kem latihan pusat pada 16 Mei 2021 sebelum ke luar negara menentang Kuwait pada 23 Mei 2021 dan Bahrain pada 28 Mei 2021.
Dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022, pasukan negara akan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun dan kemudiannya turun menentang Vietnam lapan hari kemudian. Malaysia menutup kempen kelayakan dengan berdepan Thailand pada 15 Jun 2021.
Lebih kurang 38 nama pemain sudah disenaraikan (untuk menerima vaksin) supaya mereka tidak berasa risau untuk bertandang ke Dubai. Beberapa pemain dari kelab luar negara turut menyertai pasukan iaitu Junior Eldstal (Chonburi), Luqman Hakim (KV Kortrijk) dan Liridon Krasniqi (Newcastle Jets).
Baca artikel lain mengenai perkembangan Harimau Malaya melalui pautan dibawah.
Tiga Pemain Beraksi Di Luar Negara Bakal Perkuatkan Skuad Harimau Malaya