Penyerang naturalisasi negara, Guilherme De Paula menggesa agar lebih ramai peminat untuk hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk perlawanan kedua kumpulan E saingan peringkat kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bahrain pada 11 Jun ini.
Ditemu ramah selepas perlawanan, De Paula nyata teruja dengan sokongan yang diberikan oleh peminat pada aksi menentang Turkmenistan semalam yang menyaksikan pasukan negara berjaya meraih kemenangan dengan keputusan 3-1.
“Saya bangga berada di sini, bangga untuk menyarung jersi skuad kebangsaan Malaysia. Saya harap peminat memberikan sokongan kerana kami memberikan lebih daripada 100 peratus pada setiap perlawanan kelayakan.
“Saya harap pada perlawanan seterusnya lebih ramai penonton yang akan hadir. Beri sokongan kepada kami agar kami memiliki keyakinan dan memenangi perlawanan,” kata Guilherme De Paula.
Pemain berusia 35 tahun itu dimasukkan pada separuh masa kedua dan peminat di stadium teruja dengan kemasukan beliau yang menggantikan Darren Lok.
Peminat yang hadir bersorak dengan menyebut naka De Paula sehingga wisel penamat dibunyikan oleh pengadil dan De Paula sendiri menyambut baik sokongan yang diberikan kepada beliau.
De Paula ucap Selamat Pagi semua! pic.twitter.com/gIji8SqPfQ
— Nizam 🇲🇾🇵🇸 (@NizamArchibald) June 9, 2022
Pada perlawanan semalam, skuad bimbingan Kim Pan-gon nyata mendominasi separuh masa pertama dimana pasukan negara berjaya mendapatkan jaringan pembukaan pada minit ke-11 menerusi Safawi Rasid.
Jaringan itu jelas meningkatkan moral barisan pemain negara untuk menambah jaringan dan hampir melakukannya pada minit ke-15 tetapi Darren Lok gagal menguis masuk bola hasil hantaran lintang cantik daripada Matthew Davies.
Kehampaan itu ditebus Muhammad Faisal Abdul Halim berselang seminit kemudian apabila pemain lincah tersebut menyempurnakan peluang dengan merembat masuk bola dalam kawasan penalti, bermula daripada usaha Arif Aiman yang berjaya merampas bola dari kaki pertahanan lawan.
Memasuki minit ke-38, Turkmenistan merapatkan defisit jaringan apabila Annadurdyyev Altymyrat mudah menolak masuk bola ketika situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol skuad negara susulan tandukan ke belakang dilakukan Dion Cools terkena palang dan tidak dapat dikawal baik Farizal.
Ketika para pemain sudah berkira-kira untuk melangkah keluar ke bilik persalinan, Corbin-Ong melakukan gerakan solo dari kawasan sendiri dan kemudiannya melepaskan rembatan yang tidak mampu dihalang Orazmuhammedov bagi menjadikan kedudukan 3-1.
Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaan di sini:
Kelayakan Piala Asia: Harimau Malaya Cemerlang Atasi Turkmenistan
Analisis: ‘Front 4’ Malaysia Menyusahkan Turkmenistan Dengan Intensiti Dan Pressing
Piala Asia B-23: Malaysia Tewas Lagi, Tamatkan Kempen Dengan ‘Tangan Kosong’