Skuad muda Malaysia pulang ke tanah air dengan tangan kosong selepas tunduk 0-2 ditangan Vietnam pada aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Asia bawah 23 (B-23) tahun yang berlangsung di Stadium Lokomotiv, Tashkent sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad negara menamatkan edisi kali ini tanpa sebarang kemenangan dan hanya menjaringkan satu gol ketika bertemu Korea Selatan dan dibolosi sembilan gol.
Satu statistik yang sememangnya perlu dipandang serius oleh banyak pihak walaupun tiada sebarang sasaran diletakkan terhadap skuad kendalian Brad Maloney ini.
Seperti dijangka, skuad muda negara nyata berdepan kesukaran untuk menyaingi corak permainan Vietnam yang lebih tersusun dalam melancarkan serangan ke kubu skuad negara.
Selain itu, Nham Manh Dung jelas menjadi masalah buat skuad negara dengan beberapa kualiti hebat ditampilkan oleh pemain berusia 22 tahun itu.
Manh Dung membuktikan kemampuannya dengan menghadiahkan jaringan pembukaan buat Vietnam selepas beliau tidak berdepan masalah untuk menanduk masuk bola hasil hantaran lintang menarik dilakukan Nguyen Thanh Nhan pada minit ke-28.
Dua minit kemudian, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi mendapat peluang untuk kembali menyamakan kedudukan, namun rembatannya dari luar kawasan penalti hanya sedikit melewati palang gol.
Larian Manh Dung pada minit ke-32 selepas beliau berjaya melepasi perangkap ofsaid hampir menghukum skuad muda negara tetapi percubaan lambung dilakukannya berjaya diselamatkan Firdaus Irman.
Firdaus sekali lagi bertindak cemerlang berselang dua minit kemudian apabila beliau melayangkan badan untuk menafikan sepakan percuma menarik yang diledakkan oleh Nguyen Van Truong.
Malang menimpa skuad negara pada masa kecederaan babak pertama apabila Vietnam dihadiahkan sepakan penalti selepas rujukan Video Assistant Referee (VAR) susulan bola terkena tangan Hairiey Hakim Mamat. Lebih mengejutkan, Hairiey turut dilayangkan kad merah ekoran insiden tersebut.
Sepakan penalti yang diambil Hoang Viet Anh Bui pada mulanya berjaya diselamatkan Firdaus, namun ketua pasukan Vietnam itu melakukan percubaan susulan bagi menewaskan penjaga gol tersebut.
Memasuki babak kedua dengan beraksi kekurangan pemain, skuad Malaysia cukup berdisiplin dalam aspek bertahan bagi mengekang Vietnam daripada menambah lebih banyak jaringan.
Keputusan tersebut menyaksikan Vietnam mengiringi Korea Selatan ke pusingan suku akhir selepas pencabar terdekat mereka, Thailand tewas 0-1 pada satu lagi aksi.