Jika anda mencari perlawanan Harimau Malaya menang dengan gabungan aksi permainan yang cantik, maka video perlawanan ini harus menjadi rujukan anda pada masa hadapan. Kenapa?

Ianya sarat dengan bukti bahawa Malaysia boleh bermain dengan intensiti yang tinggi dan bermain high pressing.

Untuk lawan yang berada di ranking lebih baik daripada Malaysia, pasukan Turkmenistan telah melalui satu malam yang ibarat neraka.

Dengan intensiti berterusan, sokongan padu penyokong ditambah dengan semangat juang pemain Malaysia, ianya wajar dipuji.

Ya, semangat juang, ini yang menjadi faktor penting dalam permainan Malaysia hari ini.

Intensiti Malaysia

Sejak dari wisel permulaan lagi, Malaysia menekan lawan mereka di garisan tinggi. Tidak membenarkan Turkmenistan membinaan serangan dengan selesa.

Misalnya gol kedua Faisal Halim, ianya adalah cerita paling sempurna kepada sebuah proses high pressing.

Paling ironi, pemain berbadan kecil, Arif Aiman melakukan tekanan kepada pertahanan dan membuatkan bola terlepas dan terus dirampas seorang lagi pemain kerdil iaitu Faisal Halim.

Dalam high pressing tiada istilah fizikal menjadi penghalang. Ianya berkaitan kesungguhan. Ini kerana pemain dengan titik graviti rendah memiliki kelebihan mereka dalam high pressing.

Apa yang berlaku di sini, Arif Aiman melakukan shoulder to shoulder challenge. Dan lebih penting adalah Faisal Halim yang sentiasa bergerak ataupun ‘hidup’. Ini adalah paling penting dalam high pressing.

Jika Faisal Halim mematikan gerakannya dan menunggu, dia kemungkinan tak sempat merampas bola pada detik terbaik.

Struktur serangan Malaysia

Secara formasinya, Malaysia bermain dengan sistem 4-2-3-1. Dengan Safawi Rasid digunakan sebagai no.10 yang turut bertindak sebagai penyerang kedua.

Seterusnya, Faisal Halim dan Arif Aiman boleh membentuk sistem 4-3-3 dengan keupayaan mereka menjadi winger dan pemain sisi klasik mengikut keperluan.

Sistem Kim Pa Gon ini benar benar fluid di atas kerana pemain 3 pemain sokongan kepada Darren Lok yang boleh bermain di pelbagai posisi.

Turkmenistan ternyata tidak memiliki informasi yang cukup tentang kuartet serangan Malaysia. Itu yang membuatkan mereka diuji dengan 19 percubaan sepanjang 90 minit dengan 8 percubaan tepat.

Ini adalah situasi di mana 4 penyerang tersebut meluru ke final third. Mereka menggunakan kepantasan dan juga kecepatan aliran bola.

Ini perkara yang kita selalu hilang. Laju dan pantas dalam berlari dan mengalirkan bola serta mencipta peluang.

Safawi Rasid bertindak free role dalam sistem ini.

Turkmenistan panik dan akhirnya melakukan kesilapan sekali lagi.

Sekali lagi, gerakan yang hidup secara berterusan menjadi kunci kepada gol Safawi tersebut. Dia terus bergerak.

Darren Lok memberikan tekanan di hadapan penjaga gol.

Bertahan secara unit

Malaysia berjaya bertahan secara unit dalam perlawanan ini. Gandingan Azam Azih dan Syamer Kutty sangat baik dalam melindungi bek berempat.

Malaysia melepaskan 1 bolos lebih kepada kesilapan individu berbanding dengan kesilapan berpasukan.

Turkmenistan juga tidak selesa dengan sistem pertahanan Malaysia yang benar benar agresif.

Seterusnya, ketika mereka merapatkan jurang gol, Malaysia memberikan respon yang sangat baik dengan gol oleh Corbin Ong.

Ianya merentap semangat mereka dan mungkin mereka memikirkan bahawa malam tadi memang malam untuk underdog iaitu Malaysia.

Jika Brad Maloney mencari cara untuk bermain dengan double pivot dia boleh menjadikan video perlawanan ini sebagai contoh bagaimana Syamer Kutty dan Azam Azih bermain double pivot. Tak semestinya kedua dua pemain harus naik dan turun bersama sama setiap masa.

Rumusan

Ini adalah kemenangan yang cemerlang untuk Malaysia. Ianya wajar untuk diraikan dan kemudian para pemain harus segera move on untuk fokus kepada perlawanan seterusnya.

Malaysia jelas sekali bermain dalam perlawanan yang serba serbi mengikut kehendak mereka. Para pemain menikmati perlawanan ini, itu juga faktor penting dalam bola sepak.

Atmosfera yang baik yang turut membantu menaikkan semangat pemain serta menekan pihak lawan.

Kim Pa Gon berjaya membina sistem serangan yang bertenaga dengan gandingan kesebelasan utamanya. Di mana kesemua pemain sentiasa berlari dan saling ‘covering’ antara satu sama lain.