Gelanggang skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil bakal beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bermula 21 Jun ini dengan kemampuan kapasiti sehingga 10,000 dos sehari.
Setelah hampir 2 tahun sepi tanpa sebarang perlawanan bola sepak peringkat antarabangsa, stadium tersebut kini dihidupkan semula sebagai PPV berskala besar untuk membolehkan lebih ramai rakyat khususnya di sekitar Lembah Klang divaksin, dengan tumpuan kepada rakyat yang berusia 40 tahun ke bawah.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, kawasan khemah PPV hanya dibina sekitar kawasan trek balapan sahaja tanpa merosakkan permukaan padang di stadium tersebut.
“Seluruh trek balapan stadium ini telah bertukar wajah menjadi ruang untuk urusan vaksinasi selaras dengan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri.
“Ini merupakan sebahagian usaha KBS (Kementerian Belia dan Sukan) menjayakan inisiatif yang diterajui oleh Khairy Jamaluddin dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan melalui penggunaan fasiliti secara optimum.
“Insya-Allah, dengan ikhtiar ini kita akan dapat meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan rakyat dengan lebih cepat lagi,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook rasmi.
Stadium Nasional Bukit Jalil kebanggaan negara kini bersiap sedia untuk menjadi sebuah PPV Mega bagi mencapai kapasiti 10 ribu sehari dan tumpuan akan diberikan kepada rakyat yang berusia 40 tahun ke bawah. @KBSMalaysia @Khairykj @officialmosti @KKMPutrajaya pic.twitter.com/7gQPS9gmdu
— Reezal Merican (@reezal_merican) June 19, 2021
Seramai 60 sukarelawan MYVAC di bawah kelolaan KBS akan berkhidmat di situ dan jumlah itu akan ditambah mengikut keperluan. Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk segera mendaftar dan sentiasa menyemak status janji temu mereka melalui aplikasi MySejahtera.
Difahamkan beberapa bekas pemain skuad kebangsaan sudah mula mendapat temujanji untuk suntikan vaksin di Stadium Bukit Jalil termasuk atlet yang tidak terlibat dengan sebarang kejohanan antarabangsa.
Reezal Merican juga mengesahkan Stadium Tertutup Axiata Arena telah beroperasi sebagai PPV bagi tujuan yang sama sejak 7 Jun lepas.
Baca artikel lain mengenai Stadium Nasional Bukit Jalil melalui pautan dibawah.
Brendan Gan: Tiada Yang Mampu Menandingi “Atmosphere” Stadium Nasional Bukit Jalil
‘Rumput Lembu’ Di Stadium Nasional Bukit Jalil Bakal Ditukar