Jodoh selama 18 tahun Mason Mount bersama Chelsea secara rasminya berakhir selepas beliau diumumkan sebagai pemain baharu Manchester United, sebentar tadi.
Baca Juga:
- Analisis: Mason Mount Si No.8 Kiri Baharu Man United
- Man United Sedia Lupakan Mount Dan Beli Moises Caicedo
- Analisis: Kenapa FFP Cuma Benarkan Man United Berbelanja £105 Juta Ketika Ini?
Menurut sumber laporan laman sesawang rasmi Manchester United, Mason Mount telah memeterai kontrak bersama The Red Devils selama empat tahun dengan pilihan tambahan lanjutan setahun.
Malah, beliau turut diberikan jersi bernombor tujuh yang mana ia merupakan nombor keramat buat Manchester United.
Perpindahan bernilai £60 juta itu menyaksikan semakin bertambah nama besar pasukan Chelsea yang meninggalkan kelab tersebut selepas N’Golo Kante, Kai Havertz, Edouard Mendy, Matteo Kovacic dan Kalidou Koulibaly.
Pemain berusia 24 tahun itu hadir ke Old Trafford dengan reputasi cukup besar dengan 58 gol dan 53 bantuan jaringan pada 279 penampilannya sepanjang The Blues.
Sudah pasti bantuan jaringan ketika Kai Havertz mencipta gol kemenangan dalam Liga Juara-Juara Eropah 2020-21 menjadi detik terhebat dalam kariernya.
Selain itu, beliau bergelar Pemain Terbaik Tahunan buat Chelsea bagi dua musim berturut-turut (2020-21 dan 2021-22).
Mount juga turut membuat 36 penampilan bersama skuad kebangsaan England dan memainkan peranan penting membantu Three Lions layak ke perlawanan akhir Kejuaraan Eropah 2020.
Mengulas mengenai penghijrahan tersebut, Mount mengakui bukan perkara mudah buatnya untuk meninggalkan Chelsea tetapi melihat Manchester United sebagai kelab yang mampu memberikannya cabaran menarik pada fasa baharu dalam kariernya.
Keadaan itu membuatkan beliau memilih untuk menyertai kelab bimbingan Erik ten Hag tersebut.