Berita gembira dari Old Trafford kerana Bruno Fernandes akhirnya rasmi kekal bersama dengan United selepas memeterai kontrak baharu dengan kelab tersebut.
Dilaporkan Bruno Fernandes dihadiahkan dengan kontrak yang menjadikannya antara pemain dalam kelompok penerima gaji tertinggi di Old Trafford sebagai balasan kepada prestasi cemerlangnya bersama United sejak menyertai kelab itu dari Sporting Lisbon pada 2020.
Di mana ketika itu Man United melalui saga perpindahan yang sangat panjang dan rumit dalam usaha mereka mendapatkan kapten Sporting Lisbon itu.
Bruno Fernandes menjadi maestro penting dengan aksi bintang ketika di bawah Ole Gunnar Solskjaer. Beliau membantu United kembali ke UCL dan menamatkan musim 2020/21 di tempat kedua.
Musim lalu sahaja, Bruno Fernandes menjaringkan 28 gol daripada 58 perlawanan dalam semua pertandingan untuk United.
Walaupun musim ini Man United agak bergelut terutama sekali berlaku pertukaran pengurus. United kini diuruskan pengurus interim Ralf Rangnick – dan masih berusaha mencari pengurus tetap yang baharu.
Difahamkan gaji Bruno Fernandes sekitar £250,000 seminggu dan kontrak baharu itu akan tamat pada 2026. Ada klausa lanjutan setahun lagi dalam kontrak – sepertimana yang biasa dilakukan United.
Fernandes berkata: “Sejak hari pertama saya menyertai Manchester United, saya ada hubungan yang istimewa dengan kelab dan penyokong kami yang luar biasa. Saya membesar menyaksikan pasukan ini, bermimpi untuk bermain di sini suatu hari nanti. Impian saya sekarang ini menjadi realiti. Ianya satu penghormatan.”
“Walaupun selepas dua tahu, saya masih merasakan kehebatan setiap kali melangkah masuk ke Old Trafford, mendengar penyokong menyanyikan nama saya dan menjaringkan gol di hadapan Stretford End.”
“Ianya satu keistimewaan untuk memakai jersi ini dan berjuang untuk kelab luar biasa ini.”
“Masih banyak perkara yang saya mahu capai di sini. Dan saya tahu, begitu juga dengan keseluruhan skuad dan staf kejurulatihan.”
“Lebih daripada segalanya, saya mahu memberikan peminat kejayaan yang mereka selayaknya dapat.”
“Kami berkongsi beberapa momen indah beberapa tahun terakhir. Namun saya dan rakan rakan sepasukan masih belum lagi mengeluarkan yang terbaik.”
Menerusi Twitternya, Bruno Fernandes mengumumkan dirinya kekal lebih lama di kelab tersebut. Dia berkata: “Hai semua, saya dengan sukacita mengumumkan bahawa akan bersama dengan kamu di sini lebih lama.”
“Saya sangat gembira dengan detik ini. Dan saya berharap, kita bersama sama akan dapat membawa pulang trofi kembali semula ke rumah kita, tempat ianya selayaknya berada.”
So happy to keep living this dream for more years ♥️ @ManUtd 🖤 pic.twitter.com/I62k64nBQD
— Bruno Fernandes (@B_Fernandes8) April 1, 2022