Pemain bek kanan Istanbul Basaksehir, Rafael da Silva mendedahkan bahawa tabiat pemakanan yang kurang sihat diamalkan Anderson menyebabkan bekas rakan sepasukannya di Manchester United itu gagal untuk menjadikannya pemain berkelas dunia.
Menyertai United semusim lebih awal [2007/08] berbanding Rafael, Anderson membuat 181 penampilan dalam semua pertandingan disertai dengan menjaringkan sembilan gol serta mencipta 21 bantuan jaringan.
Susulan itu juga beliau turut berupaya menjulang sembilan trofi bersama Manchester United dimana lima daripadanya merupakan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (empat musim) serta Liga Juara-Juara Eropah 2007/08.
Segalanya mungkin tampak indah sahaja bagi Anderson dengan pencapaian yang dinikmatinya sepanjang bersama United, tetapi Rafael menegaskan bahawa pemain tengah dari Porto Alegre, Brazil itu bergelut untuk mengamalkan pemakanan sihat dan sering dibelenggu kecederaan.
“Dia [Anderson] seorang yang gila tetapi saya amat menyukainya,” ujar Rafael menurut laporan dikeluarkan Goal.
“Berikan dia bola dan dia akan hanya bermain dengan bebas dan kadangkala, sekiranya dia mempunyai rentak yang baik, dia boleh bermain sebaik mana-mana pemain dalam saingan liga.”
“Tidak hanya itu sahaja, tetapi apabila dia beraksi dengan baik, dia akan bermain bola sepak dengan cemerlang. Dia mengalami banyak kecederaan dan kemudiannya masalah dia adalah tabiat pemakanan yang membuatkan dia terjejas dengan perkara tersebut.”
“Bukan kebetulan bahawa penampilan terbaiknya muncul ketika dia banyak menikmati perlawanan kerana sewaktu itu dia tidak dapat makan dengan begitu banyak.”
“Saya akan mengatakan sesuatu tentang Anderson, sekiranya dia pernah menjadi pemain profesional, dia boleh menjadi pemain terbaik di dunia.”
“Saya mengatakan perkara ini dengan serius. Saya tidak tahu adakah dia pernah mengambil serius perkara ini. Dia hanya menyukai kehidupan dengan cara mudah dan santai.”
“Dalam beberapa cara, itu adalah kualiti. Itulah yang membuatkan dia sangat terkenal dan menjadi salah seorang pemain terkenal di kelab ini.”
“Tetapi, dia akan makan apa sahaja yang dihidangkan di hadapannya,” tambah Rafael lagi.
Anderson yang sudah mengumumkan persaraan daripada bola sepak pada September 2020 kini bergelar penolong pengurus di skuad remaja Adana Demirspor (Turki).