Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menerusi Pemangku Presidennya, Mohamad Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan memberikan amaran kepada bekas presiden persatuan itu, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie untuk memberikan maklum balas mengenai surat tuntutan bagi menyelesaikan gaji sebanyak RM3 Juta.
Sehingga kini, Ahmad Amizal mengambil langkah berdiam diri dan enggan untuk mengulas lanjut mengenai surat tuntutan yang dihantar oleh PFA. Perkara ini nyata membangkitkan kekecewaan Abdul Karim dan menggesa agar Amizal segera memberikan maklum balas.
“Kita sudah memberikan kepadanya lebih awal, tetapi dia masih berdiam diri dan tidak memberi maklum balas.
“Jadi kami hanya boleh menunggu sehingga Khamis ini, jika masih tiada maklum balas maka kami akan berjumpa dia di mahkamah sahaja,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Sebelum ini, Amizal diberikan tempoh masa selama 14 hari untuk menyelesaikan segala hutang yang ditanggung oleh PFA. Pengurusan pasukan Perlis berpendapat Amizal perlu membayar tunggakan gaji yang dihadapi oleh persatuan itu kerana kerosakan tersebut berlaku ketika PFA di bawah kepimpinan beliau.
Pada masa yang sama, Abdul Karim menjelaskan kemasukan Ahmad Amizal ke dalam PFA adalah bukan kehendak jawatankuasa persatuan berkenaan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak sebaliknya Amizal datang kepada PFA dan menawarkan bantuan ketika badan itu menghadapi masalah kewangan.
“Dia (Ahmad Amizal) yang mencari kami dan menawarkan bantuan disaat PFA berada dalam kemelut, bukan sebaliknya.
“Sudahlah kami ditipu, tapi dikecam pula oleh peminat Singa Utara seolah-olah semua yang berlaku berpunca daripada kami,” katanya.
Pelantikan Ahmad Amizal sebagai presiden PFA sebelum saingan Liga Perdana musim 2019 membuka tirai pada mulanya dianggap sebagai penyelamat sekaligus kepada titik kebangkitan bola sepak Perlis setelah berada dalam tidur yang panjang dalam 10 tahun terakhir..
Namun, hanya harapan palsu yang dibawakan oleh bekas presiden yang digelar “Doraemon” ini apabila beliau gagal untuk mengotakan segala janji yang telah ditabur sekaligus menambahkan lagi beban kewangan yang dihadapi persatuan.
Kemuncaknya, pada 23 Februari lalu, Ahmad Amizal mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai presiden PFA dengan alasan beliau gagal untuk menjalankan tugas dengan baik.