Kejohanan hokiĀ  Piala Tun Abdul Razak 2023 sudah menghampiri penghujung apabila empat pasukan terakhir bagi kategori lelaki dan wanita bakal beraksi pada malam ini untuk memburu slot ke final.

Seperti dijangka, Perak yang merupakan juara tiga kali berturut-turut kategori lelaki mara ke separuh akhir selaku juara kumpulan A meskipun terpaksa menunggu hingga pertemuan terakhir menentang Johor, malam tadi.

Kuala Lumpur yang garang membelasah Negeri Sembilan 8-0 pada perlawanan petang semalam mengiringi skuad kendalian K. Rajan itu.

Bagi kumpulan B pula, Pahang menepati ramalan untuk menduduki tangga teratas dengan 13 mata, berkelebihan dua mata dihadapan Melaka.

Melaka turut memerlukan perlawanan terakhir petang semalam untuk mengesahkan kemaraan selaku naib juara selepas menundukkan Perlis 2-1.

Dengan lengkapnya kedudukan bagi kedua-dua kumpulan, Perak akan berhadapan dengan Melaka pada jam 7.30 malam ini dan kemudiannya Pahang pula bakal membuat perhitungan dengan Kuala Lumpur.

Sementara itu, skuad wanita Selangor cemerlang dengan kemenangan bersih pada lima perlawanan untuk mengungguli kumpulan A dengan 15 mata.

Satu lagi slot separuh akhir daripada kumpulan tersebut menjadi milik Sabah hasil sembilan mata diraih untuk meninggalkan Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Perak dan ATM.

Kuala Lumpur dan Melaka melengkapkan slot empat pasukan terakhir dengan menamatkan kumpulan B di dua kedudukan teratas.

Selangor yang merupakan juara bertahan akan bertemu dengan Melaka manakala Kuala Lumpur pula menanti cabaran Sabah.

Perlawanan separuh akhir kategori lelaki Piala Razak 2023 akan berlangsung di Padang 2 Stadium Nasional Bukit Jalil manakala aksi wanita pula diadakan di Stadium Hoki KPM, Taman Bukit Pantai, Kuala Lumpur.