Malaysia gagal layak ke suku akhir Piala Dunia Hoki 2023 apabila tunduk 3-4 menerusi penentuan penalti ‘shoot-out’ ditangan Sepanyol pada aksi yang berlangsung di Stadium Kalinga, Bhubaneswar sebentar tadi.

Baca Juga:

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi situasi tersebut selepas aksi 60 minit permainan berakhir dengan kedudukan 2-2.

Barisan pemain pertahanan Malaysia yang diketuai Razie Rahim dan Najmi Farizal Jazlan jelas mempamerkan disiplin tinggi ketika menyerap tekanan hebat diberikan oleh Sepanyol.

Bagaimanapun penjaga gol skuad negara, Muhammad Hafizuddin Othman kental bertahan untuk menghalang gawangnya daripada dibolosi pada separuh masa pertama (suku pertama dan kedua).

Selain daripada tolakan hasil pukulan sudut penalti oleh Marc Miralles yang dihalang Zulpidaus Mizun, selepas itu Hafizuddin tampil cemerlang dalam menghalang tiga percubaan tepat dimana salah satunya hadir menerusi pukulan sudut penalti.

Serangan bertali-arus yang dilancarkan Sepanyol membuatkan anak buah Arul Selvaraj itu berdepan dengan kesukaran untuk memasuki kawasan D pasukan lawan.

Memasuki suku ketiga, Sepanyol meneruskan penguasaan permainan dan mendapat peluang jaringan menerusi situasi pukulan sudut penalti pada minit ke-33 tetapi Hafizuddin sekali lagi menggagalkan pukulan Miralles.

Kem negara tanpa disangka-sangka melonjak kegembiraan berselang dua minit kemudian apabila Faizal Saari tidak melepaskan peluang susulan tolakan jauh daripada Faiz Helmi Jali untuk melakukan percubaan kilas bagi menewaskan penjaga gol, Adrian Rafi.

Jaringan itu juga nyata mengejutkan kerana ia merupakan percubaan pertama dimiliki oleh skuad negara pada perlawanan ini berikutan penguasaan berterusan dijelmakan Sepanyol.

Kedudukan kembali seimbang ketika permainan memasuki minit ke-41 apabila Miralles tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan pukulan penalti strok yang dihadiahkan pengadil dari Jerman, Marcin Grochal.

Barisan pertahanan Malaysia tidak mampu untuk menghalang kelincahan pemain Sepanyol, Pere Amat sekali gus beliau memberikan umpanan cantik kepada Xavier Gispert untuk menolak masuk gol kedua hanya berselang seminit kemudian.

Malaysia terlepas peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan sebaik sahaja aksi suku keempat dimulakan apabila jaringan Amirul Hamizan Azahar dibatalkan kerana rujukan video menunjukkan bola terlebih dahulu terkena ‘back stick’ Faizal Saari yang melakukan hantaran awal kepada pemain muda tersebut.

Kehampaan itu ditebus skuad negara pada minit ke-49 apabila Shello Silverius berjaya menolak masuk bola ketika situasi kelam-kabut dihadapan pintu gol Sepanyol untuk mengikat kembali kedudukan.

Aksi lewat permainan lebih mendebarkan apabila Sepanyol mendapat empat pukulan sudut penalti tetapi barisan pemain negara kental bertahan untuk mengelakkan daripada dibolosi.

Keputusan terikat itu kekal hingga tamat permainan untuk pemenang terpaksa ditentukan menerusi pukulan penalti ‘shoot-out’.

Kegagalan Marhan Jalil dan Shello serta peluang kedua Firhan untuk menyempurnakan penalti ini menyaksikan skuad negara terpaksa melupakan hasrat ke suku akhir.

Kekalahan ini menyaksikan skuad negara akan kembali ke Rourkela untuk berdepan Afrika Selatan bagi perlawanan klasifikasi tempat ke-9/16 pada Khamis nanti.

Penalti ‘Shoot-out’

Malaysia 

1) Firhan Ashari – Gol

2) Faizal Saari – Gol

3) Marhan Jalil – Diselamatkan Mario Garin

4) Shahmie Irfan Suhaimi – Gol

5) Shello Silverius – Terkena tiang gol

6) Firhan Ashari – Tersasar

Sepanyol

1) Alvaro Iglesias – Diselamatkan Hafizuddin Othman

2) Marc Miralles – Gol

3) Jordi Bonastre – Gol

4) Xavier Gispert – Gol

5) Marc Reyne – Diselamatkan Hafizuddin Othman

6) Marc Miralles – Gol