Ketua jurulatih skuad hoki Perak, K. Rajan tanpa berselindung mengakui anak buahnya dibebani tekanan menjelang aksi pembukaan Piala Razak 2023.

Perak yang merupakan antara kuasa besar hoki tanah air jelas berada dalam tekanan kerana mereka dalam misi untuk menjuarai kejohanan buat kali keempat berturut-turut.

Selepas memenangi kejuaraan 2020, 2021 dan 2022, skuad yang diketuai pemain berpengalaman luas, Sukri Mutalib itu pastinya memasang impian besar untuk sekali lagi bergelar juara.

Menurut sumber laporan Bernama, meskipun tanpa khidmat dua bintang edisi lalu iaitu Azrai Aizad Abu Kamal dan Ashran Hamsani, ketua jurulatih skuad kebangsaan Singapura itu tetap optimis dengan barisan pemain yang dimilikinya dalam saingan kali ini.

Azrai dan Ashran tidak dapat membantu Perak kerana syarat pertandingan  tidak membenarkan penglibatan pemain terkini dalam skuad kebangsaan untuk turut sama beraksi.

“Gandingan pemain baharu dan berpengalaman diharap dapat perkuatkan permainan iaitu terdapat empat pemain baharu yang akan diturunkan pada edisi ini.”

K. Rajan bersama ketua pasukan Perak, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan. Kredit Foto: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM)

“Memang ada tekanan sebab sudah tiga tahun kita menang [muncul juara], namun semasa sesi latihan saya nampak mereka ini boleh menjadi juara,” ujar Rajan lagi melaungkan keyakinannya.

Melihatkan kepada senarai pemain, Perak masih merupakan antara pasukan pilihan untuk menjuarai saingan kerana mereka dibarisi bekas pemain skuad kebangsaan seperti Sukri Mutalib, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin, Muhammad Najib Abu Hassan dan Adrian Andy Albert (penjaga gol).

Pengalaman luas pemain-pemain tersebut bakal diadun dengan secukup rasa bersama pemain muda berbakat besar iaitu Muhammad Amirul Haniff Mamat dan Muhammad Akram Hakkam Jamaluddin.

Perak akan memulakan saingan Piala Razak 2023 pada Khamis ini apabila dijadualkan bertemu Kuala Lumpur di Stadium Hoki KPM, Taman Bukit Pantai.

Selain Kuala Lumpur, Perak turut diundi dalam kumpulan A bersama-sama Terengganu, Johor, Negeri Sembilan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

 

 

Sumber