India menampilkan kebangkitan hebat untuk muncul juara Trofi Juara-Juara Asia 2023 selepas menewaskan Malaysia 4-3 pada aksi final yang berlangsung di Chennai, sebentar tadi.

Baca Juga:

Kekalahan itu nyata amat sukar diterima kerana barisan pemain negara kerana mereka bermain dengan cukup baik terutamanya pada suku pertama dan kedua hingga berjaya memiliki kelebihan dua gol.

Corak permainan yang nyata cukup berbeza ditampilkan oleh barisan pemain negara berbanding kekalahan 0-5 dialami ke atas lawan sama ketika peringkat kumpulan tempoh hari.

Semangat tinggi dipamerkan anak buah Arul Selvaraj itu jelas terserlah seawal minit pertama selepas Azrai Aizad Abu Kamal menghadirkan serangan berbahaya ke kubu India.

Namun, pukulan kilas dilakukan anak kelahiran Ipoh itu hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol India yang dikawal Pathak Krishan Bahadur.

India berada dihadapan pada minit kesembilan setelah tolakan padu Singh Jugraj ketika situasi pukulan sudut penalti tidak mampu diselamatkan Hafizuddin Othman di gawangnya.

Azrai kemudiannya menebus kehampaan pada awal permainan berikutan jaringan penyamaan yang dihasilkan pada minit ke-14 menerusi jaringan padang setelah menerima hantaran Meor Muhamad Azuan Hassan.

Jaringan itu nyata menyemarakkan lagi moral pemain negara untuk menambah jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil berselang empat minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti disudahkan Razie Rahim.

Kem negara terus melonjak kegembiraan ketika memasuki minit ke-28 apabila Aminuddin Zain pula menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Tersentak dengan kelebihan dimiliki Malaysia, India meningkatkan intensiti permainan pada suku ketiga dengan tekanan hebat diberikan ke arah kubu Malaysia.

Bertahan dengan baik pada peringkat permulaan, Razie Rahim dan rakan sepasukannya tidak mampu untuk meneruskan kecemerlangan itu hingga menyaksikan India menambah dua gol dalam tempoh yang cukup pantas menerusi Harmanpreet Singh (penalti strok) dan Gurjant pada minit ke-45.

Ketika aksi hanya berbaki empat minit untuk ditamatkan, kesilapan Meor Azuan yang gagal mengawal dengan baik bola digunakan sepenuhnya India untuk serangan balas pantas dan disudahkan dengan baik oleh Akashdeep Singh sekali gus menghadiahkan kejuaraan keempat buat tuan rumah.