Skuad hoki Malaysia mempamerkan aksi cukup bertenaga untuk melangkah ke perlawanan akhir Trofi Juara-Juara Asia 2023 selepas berjaya menundukkan Korea Selatan 6-2 di Chennai, India sebentar tadi.

Kemenangan penuh bergaya itu sekali gus membawa skuad negara ke pentas final buat kali pertama dalam sejarah penyertaan kejohanan tersebut.

Anak buah Arul Selvaraj itu bagaimanapun tersentak seawal minit kedua selepas Cheon Ji Woo mengambil kesempatan atas kesilapan pertahanan dalam kawasan D untuk meledakkan jaringan pembukaan.

Namun, kegembiraan pasukan lawan itu tidak bertahan lama apabila Azrai Aizad Abu Kamal melakukan gerakan solo dalam kawasan penalti lalu menolak masuk bola untuk menyamakan kedudukan pada minit ketiga.

Najmi Farizal Jazlan kemudiannya meletakkan skuad negara dihadapan pada minit kesembilan menerusi pukulan sudut penalti yang menewaskan penjaga gol, Kim Jaehyeon.

Kedudukan kembali terikat pada minit ke-14 selepas Jang Jeonghyun tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Enggan terus ditekan lawan, Razie Rahim dan rakan sepasukannya tampil dengan lebih baik untuk menggandakan asakan.

Ia nyata membuahkan hasil dimana Faizal Saari dan Najmi Farizal turut menyudahkan peluang menerusi pukulan sudut penalti bagi menjadikan kedudukan 4-2.

Lewat suku ketiga permainan menyaksikan Malaysia terpaksa bermain dengan 10 orang dan Korea Selatan nyata mengambil kesempatan untuk memberikan tekanan.

Usaha mereka hampir membuahkan hasil pada minit ke-43 tetapi penjaga gol, Hafizuddin Othman cemerlang menafikan pukulan penalti strok Yang Jihun.

Hafizuddin dan barisan pertahanan negara juga cukup cemerlang dalam menggagalkan deretan pukulan sudut penalti diterima Korea Selatan.

Tidak cukup dengan kelebihan dua gol tersebut, Shello Shilverius memastikan kemenangan 6-2 menjadi milik Malaysia hasil dua gol tambahan diledakkannya.

Menanti Malaysia di final ialah pilihan utama, India yang berhadapan dengan Jepun dalam satu lagi aksi separuh akhir.