Cadangan mewajibkan pengambilan vaksin sebagai antara syarat utama membenarkan penyokong masuk ke dalam stadium dijangka mampu meningkatkan lagi kemahuan orang ramai secara tidak langsung untuk mendaftarkan diri serta mengambil vaksin.
Saranan itu juga mampu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan penonton yang hadir ke stadium selain mengikuti Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan selama ini.
Dua perkara ini menjadi perhatian utama daripada wakil-wakil penyokong yang bersetuju dengan cadangan Malaysian Football League (MFL) untuk mewajibkan penonton mengambil vaksin terlebih dahulu sebelum mendapat kebenaran masuk ke stadium.
Menurut Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid, sudah sampai masanya Liga Malaysia mengikuti majoriti penganjuran kejohanan serta liga luar negara yang telah mula mewajibkan pengambilan vaksin ke atas semua penyokong.
“Bagi saya ini jalan terbaik bagi memudahkan kemasukan penyokong lagi ke stadium, kita lihat di luar negara pun, penonton sudah boleh masuk ke stadium dengan jumlah yang lebih ramai ekoran sudah mengambil vaksin.
“Malah, saya jangkakan sesetengah penyokong yang selama ini macam bimbang atau malas hendak ambik vaksin, mungkin akan mengubah keputusan mereka jika langkah ini diwajibkan.
“Sudah tentu mereka tidak sanggup tidak dapat masuk ke stadium dan situasi ini dalam masa sama turut boleh membantu pihak kerajaan yang mahu melihat lebih ramai rakyat Malaysia mendapat vaksin.
“Saya harap penyokong jangan takut atau bimbang dengan cadangan sedemikian kerana ini adalah langkah terbaik untuk semua malah kita tengok ramai yang sudah ambil vaksin tetapi semuanya berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Wakil-wakil penyokong bersetuju dengan cadangan Malaysian Football League (MFL) untuk mewajibkan penonton mengambil vaksin terlebih dahulu sebelum mendapat kebenaran masuk ke stadium.
Baca lanjut ⤵#KitaLawanCOVID19
— Malaysian Football League (@MFL_MY) June 14, 2021
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, ada menyatakan pandangannya di dalam satu media tempatan yang beliau bersedia berbincang dengan kerajaan dalam membenarkan kemasukan semula penyokong ke stadium.
Dalam masa sama, MFL sedia terbuka dengan cadangan untuk membenarkan penyokong yang telah divaksin sahaja masuk ke stadium pada aksi di Liga Malaysia.
Sementara itu, wakil penyokong TokGajah.com, Mohamad Fauzi Abdul Manaf mengakui itu sememangnya pilihan terbaik buat semua dalam masa sekarang cuma mengharapkan peraturan itu dapat dikuatkuasakan selepas mencapai satu angka imuniti kelompok yang memuaskan.
Baginya, kesedaran rakyat sudah semakin tinggi sejak kebelakangan cuma ramai antara mereka belum berkesempatan menerima suntikan vaksin ekoran masih menunggu giliran daripada mereka yang telah mendaftarkan diri di aplikasi MySejahtera
“Sememangnya idea MFL untuk mewajibkan penonton ambil vaksin saya amat setuju kerana kita mahu mewujudkan persekitaran yang selamat kepada semua termasuk ke stadium.
“Cuma satu harapan saya, peraturan ini mungkin dapat dilaksanakan sebaik kita mungkin sudah satu angka tinggi dalam kalangan rakyat yang sudah mengambil vaksin.
“Buat masa ini, saya lihat masih belum ramai mendapat vaksin namun mungkin angka itu akan berubah dalam tempoh beberapa bulan lagi.
“Saya juga mencadangkan jika ada penonton yang belum membuat vaksin tetapi mahu hadir ke stadium mungkin boleh dikenakan syarat membuat RTK-Antigen, ini sebagai satu pilihan kepada penyokong,” katanya.
Wakil penyokong Ultras Penang, Zamzuri Ibrahim turut melihat langkah MFL itu bersesuaian dengan situasi terkini selain menunjukkan kepada pihak luar yang Liga Malaysia turut serius dalam menangani penularan pandemik COVID-19.
“Ini cadangan yang sangat bagus sebab menjadi satu contoh dunia luar bagaimana kita di Malaysia mengambil serius terhadap pemberian vaksin kepada semua rakyat.
“Cuma bagi mencapai immunisasi kelompok, saya rasa sesetengah tempat seperti di luar bandar mungkin sukar menerima keputusan ini namun secara keseluruhan saya rasa memang sewajarnya langkah ini diambil,” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Selangor Bawa Masuk Seorang Lagi Pemain Import Pinjaman Daripada Kelab Accra Lions