Penjaga gol Penang FC, Bryan See Tian Keat, menjelaskan bukan mudah untuk dirinya berada di tahap sekarang dan mahu berterima kasih kepada bekas majikannya pada dua musim lalu, PDRM yang telah membantu menaikkan semula kariernya di Liga Malaysia.
Kepercayaan yang diberikan apabila turun dalam hampir setiap perlawanan memberikan platform buat dirinya lebih dikenali di Liga Malaysia selepas memulakan karier di PKNP pada musim 2018.
Selepas menghabiskan pengajian di Universiti Johns Hopkins pada musim 2017 di dalam bidang kejuruteraan awam selama empat tahun, Bryan mengakui berdepan sedikit kesukaran dari musim ke musim bagi mendapatkan pasukan kerana tidak dikenali dalam kalangan jurulatih.
“Saya lalui banyak cabaran sejak saya balik dari Amerika Syarikat, saya sukar mendapatkan pasukan dan soalan biasa yang akan ditanya jurulatih adalah berapa banyak perlawanan telah saya main sebelum ini.
“Bukan senang hendak dapat bermain dalam kesebelasan utama dan saya rasa karier ini mengalami anjakan sebaik saya bersama PDRM pada dua musim lalu.
“Pihak pengurusan dan kejurulatihan percaya akan kebolehan saya , daripada situ karier saya kembali terbina walaupun pasukan menduduki tempat tercorot , saya mendapat minit untuk bermain dengan cukup banyak.
“Saya percaya kemampuan diri sendiri dapat menggalas tugas sebagai penjaga gol utama dengan baik,” katanya.
Sebelum menyertai PDRM pada pertengahan musim 2019, Bryan pernah bermain di Thai League 3 bersama Bangkok United selama enam bulan pada tahun yang sama selain PKNP (2018).
Dalam pada itu, Bryan tidak melihat kehadiran semula Sommerville yang telah pulih daripada kecederaan selain turut mendapat panggilan daripada skuad Harimau Malaya akan menjejaskan peluangnya beraksi di dalam kesebelasan utama sebaliknya menganggap itu sebagai satu situasi yang positif.
Baginya, kehadiran Sommerville akan tingkatkan lagi persaingan yang akan berikan keuntungan kepada pasukan dan dia hanya mahu berikan tumpuan dalam tingkatkan prestasi sendiri.
“Somerville seorang penjaga gol yang berkualiti dan bagi saya, kehadirannya semula bersama pasukan adalah satu persaingan yang sihat bagi saya semasa latihan.
“Kita akan berikan persembahan yang terbaik dan sesiapa pun pasti akan mengidamkan minit untuk bermain serta teruskan penampilan namun semuanya atas keputusan jurulatih untuk meletakkan sesiapa antara kami selaku penjaga gol utama,” katanya.
Bryan dalam masa sama akui tempoh rehat selama dua bulan ini akan membuka semula ruang kepada pasukan membina semula kekuatan selepas mengharungi dua kekalahan terturut-turut di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City.
“Tempoh yang diberikan ini, saya rasa akan membantu pasukan kerana sebelum kami berdepan banyak masalah kecederaan tonggak utama yang secara tidak langsung mengurangkan kualiti pasukan untuk berikan terbaik dalam tiap perlawanan.
“Ruang ini juga boleh digunakan buat pasukan membuat post mortem serta sama-sama duduk membincangkan taktikal yang kita guna serta perbaiki segala kekurangan malah paling penting dapat gunakan pemain yang alami kecederaan,” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak tanah air di sini:
Park Hang-seo Tak Risau Kehilangan Nguyen Quang Hai, Dedah Sudah Ada ‘Backup Plan’
Tan Cheng Hoe: Jangan Terpedaya Dengan Taktik ‘Angkat Beg’ Vietnam