Peminat Manchester United yang terus tidak berpuas hati dengan pemilikan keluarga Glazer berkumpul di luar kompleks padang latihan Carrington kelab pada pagi Jumaat lalu untuk melancarkan protes aman, dengan polis dipanggil untuk meningkatkan keselamatan.
Dua sepanduk anti-Glazer dikibarkan dan dianggarkan 30 orang mereka kemudiannya bersurai, kira kira setengah jam sebelum Ralf Rangnick mengadakan taklimat mingguan media Jumaat pada 1.15 tengah hari.
Perhimpunan kecil di pusat latihan itu adalah protes sebelum protes lebih besar yang dirancang pada hari Sabtu di luar Old Trafford apabila pasukan itu menerima kunjungan Norwich City.
Ditanya mengenai protes itu Rangnick berkata dia faham kerena pasukannya tidak menunjukkan prestasi yang sepatutnya berdasarkan kualiti skuad mereka ada.
Rangnick berkata: “Kita semua tahu bola sepak adalah permainan keghairahan dan emosi. Kami semua boleh faham – saya boleh faham penyokong kami kecewa dengan kedudukan kami dalam carta liga dan prestasi yang kami tunjukkan di Everton [kalah 1-0], terutama sekali selepas kami melepaskan gol pertama itu.”
“Tetapi saya masih percaya penyokong kami adalah antara yang terbaik, jika pun mereka bukan yang terbaik, di England dan selagi mereka membantah secara aman dan menyokong pasukan di stadium, mereka mempunyai hak untuk menyatakan pendapat mereka.”
Penganjur demonstrasi pada Sabtu, menggesa peserta tidak memasuki Old Trafford sehingga jam 3.17 petang – mewakili seminit bagi setiap tahun sejak Malcolm Glazer membeli kelab itu.
Jurucakap United berkata: “Terdapat protes kecil dan aman di luar tempat latihan Carrington hari ini. Kami menghormati pendapat peminat dan terus komited untuk mengukuhkan penglibatan kami dengan mereka.”
Ralf Rangnick says Man United fans have 'right to voice opinion' ahead of planned protest #MUFC https://t.co/0E26myduGC
— talkSPORT (@talkSPORT) April 15, 2022
Mengenai rancangan untuk tidak memasuki stadium sehingga jam 3.17 petang Rangnick berkata: “Walaupun mereka berbuat demikian maka selepas 17 minit itu diharapkan mereka masih menyokong pasukan dan berada di belakang kami.”
“Tetapi berapa banyak yang mereka lakukan itu bergantung pada apa yang kami tunjukkan di padang jadi ia adalah permainan memberi dan menerima.”
“Kami tidak boleh mengharapkan mereka hanya menyokong kami tidak kira apa yang kami buat di atas padang.”
Manchester United fans are planning a new #GlazersOut protest for Saturday 16th April.
(📸 The 1958) pic.twitter.com/omuwzev8c7
— Footy Accumulators (@FootyAccums) April 12, 2022
Selepas tewas kepada Everton, yang berada di tangga ke-17, United berdepan dengan kelab tercorot dalam EPL. Rangnick kemudian yakin menyatakan bahawa dia “tidak terfikir” bahawa pasukannya boleh akan kalah lagi berdepan pasukan yang terancam penyingkiran.
“Ia sepatutnya tidak dapat difikirkan tetapi kita semua tahu dalam bola sepak bahawa perkara seperti itu boleh berlaku,” kata pengurus sementara itu.
“Inilah yang menjadikan permainan bola ini begitu menarik: anda tidak pernah tahu apa keputusannya. Saya agak positif kita akan menunjukkan reaksi kita esok [hari ini]. Ini harus berlaku – kami berhutang kepada diri sendiri, penyokong, seluruh kelab. Ia adalah ujian kepada karakter kami.”
Seterusnya, Luke Shaw juga sah tidak akan bermain lagi ada baki musim ini. Ianya adalah kerana komplikasi yang berkaitan dengan rawatan berterusan untuk patah kaki dua yang dialami pemain pertahanan itu ketika menentang PSV Eindhoven pada 2015.
“Nampaknya, dia akan berehat sekurang-kurangnya empat atau lima minggu lagi,” kata Rangnick.
“Adalah sukar baginya untuk bermain untuk baki tujuh perlawanan lagi.”
Fred, Scott McTominay, Edinson Cavani dan Raphaël Varane juga masih cedera.
Sementara itu, Nemanja Matic mengumumkan akan meninggalkan United pada penghujung musim ini. Pemain berusia 33 tahun itu mempunyai baki setahun dalam perjanjiannya tetapi telah memutuskan dia mahukan cabaran baharu setelah menyertai kelab itu dari Chelsea dengan harga £40 juta pada Julai 2017.
“Selepas berfikir panjang, saya telah memutuskan bahawa musim ini akan menjadi musim terakhir saya bersama Manchester United. Saya telah memaklumkan kepada lembaga pengarah, pengurus dan pemain mengenai keputusan saya,” tulis Matic di Instagram.
“Ia merupakan satu penghormatan besar dan keistimewaan untuk bermain untuk kelab hebat ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada peminat atas sokongan yang tidak berbelah bahagi. Saya kini akan memberikan segala-galanya sehingga akhir musim untuk membantu rakan sepasukan saya menamatkan sekuat mungkin.”