Manchester United dilaporkan semakin hampir untuk mendapatkan penjaga gol dari Jepun, Zion Suzuki bagi menggantikan tempat De Gea musim depan.

Baca Juga:

Kontrak De Gea di Old Trafford tamat pada Jumaat lalu dan kini dia adalah ejen bebas. Namun dia diminta untuk tidak menyertai kelab lain walaupun kontraknya sudah berakhir.

Penjaga gol berusia 32 tahun itu dilaporkan berada dalam radar kelab Arab Saudi, Al-Nassr yang dibintangi bekas rakan sepasukan United, Cristiano Ronaldo.

Namun begitu, Media Jepun melaporkan, United menawarkan 5 juta pound (RM29.74 juta) untuk mendapatkan khidmat Zion Suzuki, yuran yang akan menjadikannya pembelian termahal dalam sejarah J League.

The Red Devils sudah memerhatikan penjaga gol Urawa Red Diamonds berusia 20 tahun itu sejak tahun 2017. Perjanjian itu bakal disempurnakan dan pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.

Suzuki mewakili skuad remaja Jepun di setiap peringkat tetapi belum berjaya menembusi skuad senior Samurai Biru. Dia adalah penjaga gol kedua di kelabnya.

Posisi penjaga gol United menjadi persoalan kerana Erik Ten Hag masih mencari calon yang paling sesuai untuk menggantikan tempat De Gea.

Sebelum ini, penjaga gol Inter Milan, Andre Onana dilaporkan sedang berunding dengan Man United. Ejen pemain itu bercakap dengan kelab berpangkalan di Old Trafford tersebut.

Penjaga gol itu pernah bergandingan bersama Erik Ten Hag ketika di Ajax sebelum ini. Beliau dianggap sebagai salah seorang ball playing goal keeper terbaik di eropah pada musim lalu.

Dia membantu Inter Milan mara ke final Liga Juara Juara Eropah.

Inter Milan meletakkan harga €50 juta untuk pemain tersebut sebagai bayaran asas jika Onana mahu menyertai Manchester United.