Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan mengesahkan MFL kini dalam proses akhir untuk mendapatkan kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi kemasukan penonton ke stadium dengan jumlah yang akan diputuskan.
Kerinduan hadir ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangan masing-masing sudah tentu amat dirasai dalam kalangan peminat-peminat bola sepak negara yang hampir setahun tidak dapat memasuki stadium ekoran pandemik COVID-19.
Kenyataan rasmi di laman facebook MFL juga memberi bayangan para penyokong kemungkinan akan dibenarkan kembali ke stadium dalam masa terdekat dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.
Malaysian Football League (MFL) hari ini mengadakan taklimat secara dalam talian bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab-kelab Liga Malaysia bagi melakukan post-mortem berkenaan perjalanan Liga Malaysia 2021.
Baca lanjut ➡️ https://t.co/siX2m5d2QM#MFL pic.twitter.com/QNAN3vhO1m
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 15, 2021
“Pihak pengurusan kelab-kelab juga diminta untuk membuat persiapan awal sementara menunggu keputusan MKN dan KKM itu seperti menetapkan laluan masuk dan keluar penonton ke stadium, menetapkan kawasan tempat duduk penonton serta penyediaan sanitasi tangan dan pemeriksaan suhu badan.
“Satu perlawanan Liga Super dan satu perlawanan Liga Premier akan dipilih sebagai sebagai projek perintis untuk MKN dan KKM melihat SOP yang akan dikuatkuasakan sebelum kelulusan kemasukan penonton ke stadium diberikan,” kata MFL.
Pada peringkat awal, kemungkinan hanya 10 peratus penonton daripada jumlah kapasiti stadium dibenarkan masuk dan para penyokong juga tidak diwajibkan membuat ujian calitan COVID-19.
Kehadiran penyokong memberi sedikit kelegaan kepada pengurusan pasukan Liga Malaysia kerana mereka juga bergantung pada hasil kutipan jualan tiket untuk menambah pendapatan pasukan.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Penyokong Kuala Lumpur ‘Bengang’ Dengan Pengurusan Pasukan, #TAMKeterehOut Jadi Perhatian