Kegagalan meraih sebarang kemenangan pada musim lalu selain tersingkir dari Liga Super antara kenangan pahit yang mahu segera dilupakan oleh PDRM FC serta berharap mahu perbaiki reputasi pada saingan Liga Premier 2021.
Di bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Mat Zan Mat Aris, PDRM seperti ‘diam-diam ubi berisi’ apabila turut membuat persiapan jitu dengan melakukan rombakan besar-besaran terhadap pasukan.
Antaranya dua pemain import yang sudah tidak asing dengan kancah Liga Malaysia, Bruno Suzuki dan Lazarus Kaimbi yang akan menjadi taruhan PDRM di jentera serangan.
Selain itu, kehadiran dua pemain dari benua Afrika, Victor Kamhuka (Zimbabwe) dan Alexander Amposah (Ghana), dijangka akan menambah kualiti tersendiri di bahagian tengah serta pertahanan.
Menurut Mat Zan, beliau tidak kisah dengan perhatian yang kurang diberikan oleh kebanyakan pemerhati kepada PDRM kerana lebih selesa bekerja dalam situasi sebegitu dan kurang berikan tekanan kepada pemain.
“Sebagai jurulatih baharu, sudah tentu saya ada hasrat tersendiri buat PDRM selepas apa dilalui pasukan ini pada musim lalu dan mahu membina balik reputasi PDRM dalam pentas Liga Premier.
“Berdasarkan beberapa perlawanan persahabatan yang kami lalui seperti tewas 1-0 kepada Selangor, saya nampak pemain sudah boleh menerapkan taktikal yang saya mahukan selain persefahaman yang begitu baik.”
“Saya rasa tiada apa yang mustahil untuk membawa PDRM dalam kelompok atasan malah berikan cabaran kepada kejuaraan Liga Premier walaupun barisan pemain kali ini ramai bersandar bakat dan mereka yang sanggup bekerja keras untuk pasukan,” katanya.
Beberapa pemain tempatan baharu yang menyertai PDRM musim ini ialah Shahrul Igwan Samsudin (UiTM FC), Nabil Ahmad Latpi (Kuala Lumpur), Afiq Azuan (Kelantan) dan L. Kalaiharasan (UKM FC).
Pemain-pemain yang terdiri daripada anggota PDRM seperti Safiee Ahmad, Ahmad Nizam Mohd Rodzi, Amir Saiful Badeli, Muhd Eskandar Ismail dan Aliff Naquiddin antara muka lama yang terus mendapat kepercayaan bersama pasukan.
Mengenai kehadiran Bruno dan Kaimbi, Mat Zan menjelaskan pengalaman mereka bermain dalam Liga Malaysia menjadi kriteria utama mengapa beliau membawa dua penyerang ini bersama PDRM.
“Bruno seperti mana kita ketahui sebelum ini pernah bermain dengan Terengganu FC serta Negeri Sembilan sementara Kaimbi juga pernah dengan Kelantan dan Pahang, jadi mereka sudah ada rekod tersendiri di sini.
“Jadi, saya melihat ini cukup penting kerana mereka sudah tahu asam garam permainan di sini dan tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri berbanding risiko kita mengambil pemain luar yang pertama kali datang ke sini;
“Saya harap mereka berdua mampu menjadi harapan kita dalam memburu jaringan buat pasukan selain Victor dan Amposah yang saya rasa akan beri banyak bantuan dari bahagian belakang,” katanya.
PDRM yang akan terus menjadikan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sebagai gelanggang tuan rumah bakal membuka cabaran berdepan Selangor FC 2 pada 6 Mac.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.
EPL: Assist Lingard Masih Tak Mampu Halang Kemenangan Ke-20 City Berturut Turut