Berita baik datang dari saingan Liga Malaysia apabila penyerang import PDRM FC, Bruno Suzuki menjadi saudara baharu apabila memeluk agama Islam baru-baru ini.

Perkara ini dikongsikan oleh pihak kelab menerusi pengumuman di laman media sosial rasmi pasukan yang mana Bruno mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid PULAPOL KL pada awal pagi, hari ini.

“Alhamdulillah dengan syukur ke hadarat Allah S.W.T ingin mengumumkan bahawa pemain PDRM, Bruno Suzuki telah memeluk agama Islam. Beliau telah mengucapkan dua kalimah syahadah bertempat di Masjid PULAPOL KL pada awal pagi tadi bersamaan 15 Muharam 1445.

“Beliau mengucap dihadapan, Ustaz Arif M.Rajoli dan disaksikan oleh YDH SAC Noor Hisam Nordin , Komandan PULAPOL KL, YDH SUPT. Razali Mohamed Shahid ,Timbalan Komandan (Kepolisan AM) PULAPOL Kuala Lumpur, barisan pengurusan, jurulatih dan pemain PDRM FC. Sesungguhnya Hidayah itu milik Allah. Allahuakbar,” dipetik dari kenyataan pihak kelab.

Sebelum ini, bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga Pahang, R. Gopinathan disahkan telah memeluk agama islam. Dengan melafazkan dua kalimah syahadah di Pejabat Majlis Agama Islam Pahang, beliau kini bergelar sebagai seorang mualaf.

Beliau menggunakan nama baharu islam iaitu Muhammad Gopi Rizqi Bin Rama Chandra dan telah melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya yang berketurunan melayu islam pada 2019.

Pemain yang menjadi mualaf bukanlah perkara baharu dalam dunia bola sepak dimana terdapat beberapa pemain bintang dunia yang beragama lain kemudiannya memeluk Islam.

Antara pemain yang memeluk Islam seperti Zinadine Zidane, Nicolas ‘Bilal’ Anelka, Franck Ribery, Frederick Kanoute dan Lassana Diarra.