Skuad bola sepak Palestin berpotensi tidak dapat sertai Pestabola Merdeka 2023 yang bakal bermula pada hari jumaat ini.

Baca Juga:

Konflik dan peperangan yang sedang melanda negara tersebut adalah punca utama mereka mungkin tidak dapat menentang Tajikistan yang dijadualkan berlangsung pada 13 Oktober ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Menurut ciapan Football Palestine, semua sempadan dan lapangan terbang di negara itu telah ditutup sekaligus menghalang skuad kendalian Makram Daboub terbang ke Malaysia.

Peperangan tercetus turut mengorbankan ratusan nyawa penduduk Palestin dan ia mungkin memberi kesan kepada para pemain yang kehilangan ahli keluarga masing-masing.

Insiden kali ini adalah yang paling serius sejak Israel dan tentera Hamas berperang pada 2021, dengan media Israel melaporkan pertempuran bersenjata antara kumpulan pejuang Palestin dengan pasukan keselamatan tercetus di bandar-bandar sekitar selatan Israel.

Bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis belum ada kenyataan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) dan juga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai status pasukan tersebut dalam saingan Pestabola Merdeka 2023.

Jika Palestin disahkan tarik diri pada saat akhir, kemungkinan tiada pasukan lain yang dijadikan sebagai pengganti kerana kesuntukan masa.

Sebelum ini, Lubnan terpaksa menarik diri daripada Pestabola Merdeka 2023 dengan alasan telah diundi bersama Palestin dalam kumpulan yang sama bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula bulan depan.

Tempat Lubnan digantikan oleh pasukan di ranking 110 dunia iaitu Tajikistan.

Pestabola Merdeka dijadikan sebagai medan persediaan untuk skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon yang bakal beraksi dalam temasya Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.

Ia merupakan kejohanan bola sepak jemputan tertua di Asia yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia.