Pemain perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong mengakui kurang melakukan kesilapan mudah menjadi antara faktor membantu beliau menundukkan Viktor Axelsen pada aksi pusingan kedua All England 2023, malam tadi.
Baca Juga:
- All England 2023: Ng Tze Yong Lakar Kejutan, Tundukkan Viktor Axelsen
- All England 2023: Ng Tze Yong, Yew Sin-Ee Yi Lepasi Pusingan Awal
- Terbuka Malaysia 2023: Hanya Dua Wakil Negara Ke Suku Akhir
Kejutan terbesar itu menyaksikan impian pemain nombor satu dunia tersebut untuk mengintai kejuaraan ketiga dalam kejohanan sama lebur.
Beraksi di pentas All England buat pertama kali dalam kariernya, Tze Yong jelas tenang untuk menghadapi lawan yang digelar ‘Alien’ itu sehingga berjaya menang pada set pertama 21-15.
Tersentak dengan kekalahan tersebut, Axelsen tampil lebih garang pada set kedua untuk mencatatkan kemenangan mudah 21-9.
Tetapi, usaha kerasnya yang berjaya bangkit pada set penentuan tidak membuahkan hasil apabila Tze Yong lebih bijak untuk menyerap tekanan hebat sekali gus melakar kejutan dengan kemenangan 23-21.
Menanti Tze Yong di suku akhir ialah Li Shi Feng yang menyaksikan lawan dari China itu memiliki kelebihan 3-0 berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pemain sebelum ini.
Kali terakhir mereka bertemu sesama sendiri ialah dalam kejohanan Terbuka India yang berlangsung pada Januari lalu dimana Shi Feng menang 21-19, 21-14.
“Saya rasa sangat gembira dapat menang pada perlawanan hari ini jadi saya mahu mengekalkan fokus untuk perlawanan esok [bertemu Li Shi Feng],” ujar Tze Yong bercakap kepada wartawan Indonesia, Mohamad Susilo.
“Saya rasa mungkin saya tidak melakukan kesilapan-kesilapan mudah dan saya juga tiada rasa tekanan untuk menghadapi perlawanan ini.”
“Saya tidak memikirkan banyak sangat perkara kerana perlawanan esok, bertemu Li Shi Feng saya pernah banyak kali kalah ketika bertemu dengannya. Jadi saya hanya mahu menghadapi perlawanan ini.”
“Saya tak mahu menang ‘rubber set’ kalau boleh saya mahu ‘straight game’ sahaja,” tambahnya lagi.