Tiga lagi wakil negara diketuai Ng Tze Yong turut berjaya meneruskan langkah ke ke suku akhir temasya Sukan Asia (Asian Games) 2022 yang berlangsung di Binjiang Gimnasium, sebentar tadi.

Baca Juga:

Kejayaan manis dilakarkan itu membolehkan Tze Yong bersama-sama Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah untuk mengiringi Lee Zii Jia serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ke suku akhir.

Tze Yong bagaimanapun terpaksa berhempas-pulas pada set pertama ketika pertemuan menentang wakil dari Thailand, Kantaphon Wangcharoen.

Ia jelas dibuktikan apabila pemain ranking ke-19 dunia itu ketinggalan 5-9 pada permulaan permainan. Namun, Tze Yong bingkas untuk bangkit bagi mendahului 11-10.

Ketika selesa mendahului 17-14 pada satu ketika, rentak Tze Yong sedikit terganggu hingga membolehkan Kantaphon menyamakan kedudukan 17-17.

Tidak mahu kebangkitan dipamerkan Kantaphon menjadi masalah buatnya, Tze Yong tidak menunggu lama untuk memastikan set pertama milik beliau dengan kemenangan 21-17.

Skrip berbeza ditampilkan pada set kedua dengan Ng Tze Yong tidak terlalu diberikan tekanan sekali gus mengesahkan kemenangan dengan mata 21-12.

Menanti Ng Tze Yong di suku akhir Asian Games 2022 ini ialah pemain dari India, Srikand Kidambi yang menewaskan wakil Korea Selatan, Lee Yun Gyu.

Sementara itu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren akan berhadapan pemain tuan rumah, Liu Yuchen-Ou Xuan Yi.

Gandingan Pearly-Thinaah pula menewaskan satu lagi wakil Thailand Jomgkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-15, 21-17 untuk berkemungkinan besar bertemu dengan Baek Ha Na-Le So Hee.

Manakala, perjalanan Goh Jin Wei terhenti di pusingan 16 selepas tewas kepada Gloria Mariska Tunjung 6-21, 12-21.