Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain tetap berbangga dengan apa yang ditampilkan anak buahnya meskipun tumpas kepada pendahulu Liga Super Malaysia 2022, Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-2, malam tadi.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak itu menyaksikan duo berbisa JDT, Bergson da Silva dan Fernando Forestieri meletakkn pasukan pelawat dihadapan pada minit ke-32 dan 47.
Manakala Hakimi Abdullah merapatkan defisit jaringan pada minit ke-51 tetapi ia sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan ke-12 daripada 14 perlawanan buat juara lapan musim berturut-turut itu.
Disebalik kekalahan tersebut, Nafuzi bagaimanapun memuji kesungguhan yang ditampilkan anak buahnya dalam memberikan saingan buat JDT dimana beliau kehilangan tonggak utama seperti Muhammad Faisal Abdul Halim, Tchetche Kipre dan Manuel Gelito Ott akibat kecederaan.
“Memang keputusan kita tewas 2-1 kepada JDT tetapi dari segi persembahan saya begitu berbangga dengan pemain-pemain saya,” ujar Nafuzi bercakap kepada wartawan selepas perlawanan.
“Selepas 120 minit kita bermain dengan Selangor dan malam ini kita bertemu lagi dengan JDT dan kita kehilangan beberapa pemain utama. Kita tengok daripada separuh masa pertama Petrus Shitembi pun dikeluarkan, kita hanya bermain dengan tiga orang pemain import sahaja untuk malam ini.”
“Secara keseluruhannya bagi saya persembahan saya berbangga dengan pemain saya walaupun keputusan hari ini kita tewas. Para pemain memberikan segalanya, saya berbangga dengan pemain saya.”
“Setiap perlawanan sudah pastinya kita mahu meletakkan pemain-pemain terbaik kita. Tetapi dengan situasi sekarang dengan keadaan jadual yang padat ia perkara normal pemain mengalami kecederaan.”
“Hari ini Rabu dan tiga selepas ini pada hari Sabtu kita akan berhadapan dengan Sarawak, 17 Ogos kita akan keluar [bertemu] dengan Selangor, 21 Ogos bertemu Sri Pahang. Saya rasa bukan pemain sahaja yang penat, saya sendiri masih belum sempat pulih daripada kepenatan.”
“Apatah lagi apa yang pemain rasa. Bagi saya memang saya jangkakan pemain akan mengalami kecederaan dan tidak dapat bermain dengan kekuatan penuh. Tetapi bagi saya sesiapa yang bermain malam ini, mereka telah menunjukkan persembahan yang baik dari segi semangat dan memberikan segalanya setiap perlawanan.”
“Bagi kedua-dua perlawanan bertemu JDT di gelanggang sendiri dan lawan, persembahan bagi saya memang saya berbangga dengan para pemain,” tambah Nafuzi Zain lagi.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.
Karim Benzema: Perpindahan Cristiano Ronaldo Buatkan Saya Lebih Bercita-Cita Tinggi
Subkhiddin Berikan Pendapat Mengenai Insiden Hong Wan “Parap” Syafik Ismail
Piala AFC 2022: ‘Tepisan’ Azri Ghani Bawa KL City Ke Pentas Final