Penyerang berbisa Real Madrid, Karim Mostafa Benzema tanpa berselindung mengakui keputusan Cristiano Ronaldo untuk meninggalkan kelab tersebut membuatkan dirinya lebih bercita-cita tinggi untuk memburu jaringan.
Selepas sembilan musim penuh gemilang, Ronaldo memilih untuk meninggalkan Real Madrid pada musim 2018/19 bagi menyertai kelab gergasi Itali, Juventus.
Ketiadaan Ronaldo itu membuatkan Benzema menjadi taruhan utama buat Real Madrid untuk meledakkan jaringan dan nyata beliau tidak menghampakan dengan kualiti penyudah dipamerkannya.
Paling menarik sudah pastinya pada musim lalu dimana beliau telah dinobatkan selaku penjaring terbanyak La Liga dengan 27 gol dan meledakkan 15 gol dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah.
“Memang benar saya telah menjaringkan lebih banyak gol sejak dia [Cristiano Ronaldo] pergi, tetapi ketika dia di sini, dia banyak membantu saya di dalam dan luar padang,” ujar Benzema menurut kenyataan dikeluarkan Goal.
“Tetapi, saya tahu saya boleh melakukannya dengan lebih baik lagi. Apabila dia pergi, sudah tiba masanya untuk mengubah cara permainan serta cita-cita saya dan setakat ini ia berjalan dengan lancar.”
“Saya tidak akan menyatakan sama ada saya yang terbaik atau tidak. Tetapi setiap tahun saya cuba memberikan yang maksimum untuk kelab terbaik di dunia ini [merujuk kepada Real Madrid].”
“Saya perlu bermain ke tahap yang tinggi pada setiap tahun, tetapi memang benar tahap tahun lepas sangat bagus. Saya hanya cuba membantu pasukan saya dalam satu-satu perlawanan.”
“Saya tidak memikirkan tentang rekod, tetapi saya akan cuba untuk memenangi seberapa banyak trofi yang mungkin. Saya selalu berkata bahawa trofi kolektif [berpasukan] lebih penting daripada trofi individu,” tambah Karim Benzema lagi.
Penyerang yang akan menjengah usia 35 tahun pada 19 Disember itu bakal mengetuai cabaran Real Madrid pada aksi Piala Super bertemu Eintracht Frakfurt pada awal pagi esok.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.
Harry Maguire Akui Masih Belum Serasi Bersama Lisandro Martinez
Ong Kim Swee Harap Penyokong Sabah Tak Letakkan Tekanan Terlalu Tinggi Buat Embalo
Piala AFC 2022: Kedah Tersingkir Selepas Tunduk Kepada PSM Makassar