Ketua pasukan Manchester United, Harry Maguire melihat persefahaman bersama pasangan baharunya di posisi bek tengah, Lisandro Martinez memerlukan lebih banyak masa untuk mencapai tahap yang diharapkan.
Dibawa masuk dari Ajax dengan yuran perpindahan bernilai lebih £49 juta, Lisandro dilihat masih belum mampu untuk mencipta impak pantas bersama pertahanan yang sentiasa menjadi mangsa kecaman penyokong Manchester United itu.
Hakikat itu nyata perlu ditelan selepas Manchester United tumpas di laman sendiri pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23 itu kepada Brighton & Hove Albion 1-2.
Pascal Gross muncul wira pasukan pelawat apabila pemain tengah kelahiran Jerman itu meledakkan dua jaringan pada minit ke-30 dan 39 manakala gol sendiri Alexis Mac Allister ketika perlawanan memasuki minit ke-68 memberikan sekelumit harapan buat United untuk bangkit.
“Ia [persefahaman] merupakan sesuatu yang kami perlu perbaiki, jika tidak ia akan berterusan berlaku [dibolosi]. Gol pertama terasa seperti satu tamparan yang cukup besar kepada kami semua 11 pemain.”
“Sesuatu yang hebat kami dapat memiliki Lisandro dalam pasukan ini,” ujar Maguire menurut kenyataannya yang dilaporkan Goal.
“Kami saling akan bersaing bagi merebut tempat di posisi pertahanan tengah. Kami tidak banyak main bersama dan pada separuh masa pertama, kami tidak begitu serasi.”
“Kombinasi bagi pemain pertahanan tengah perlu dibangunkan secara perlahan-lahan [memerlukan masa]. Kami akan menjadi semakin baik dan mendapatkan ‘clean sheet’.”
Manchester United akan berkunjung ke Gtech Community Stadium pada hujung minggu ini untuk aksi kedua EPL berhadapan dengan Brentford.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.
CEO KDA FC Beri Penjelasan Isu Prestasi Hambar, Bukan Disebabkan Masalah Gaji
EPL: Ten Hag Tersungkur Pada Debut Di Hadapan Penyokong Sendiri
Piala Thanh Nien B-19: Kealpaan Saat Akhir Hampakan Skuad Negara