Kuala Lumpur (KL) City FC mara ke pentas final Piala AFC 2022 Zon Asia Tenggara selepas berjaya menundukkan Viettel FC 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh City sebentar tadi.
Kejayaan yang jelas cukup manis dilakarkan selepas KL City FC bertahan dengan cukup baik bagi meneruskan kemaraan dalam kempen musim ini.
Viettel bagaimanapun mempamerkan kemampuan sebenar apabila mengawal permainan dengan lebih tersusun sehingga memberikan kesukaran buat anak buah Bojan Hodak, namun tidak banyak serangan tepat ke arah pintu gol dapat dijelmakan terutamanya pada babak pertama.
Memasuki babak kedua, wakil dari Vietnam itu mendapat beberapa peluang terbaik untuk memecahkan kebuntuan tetapi rembatan padu dilakukan Nguyen Man Dunh dan Nguyen Xuan Kien diselamatkan oleh penjaga gol, Muhammad Azri Abdul Ghani.
KL City yang sesekali mengancam gawang Viettel turut berupaya menciptakan peluang. Bagaimanapun tandukan Romel Morales selepas menerima hantaran lintang cantik Paulo Josue dinafikan Tran Nguyen Manh.
Keputusan terikat tanpa jaringan itu memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan dengan Viettel meneruskan penguasaan tetapi Ryan Lambert memiliki peluang keemasan pada minit ke-107 untuk mendapatkan jaringan.
Percubaannya dari luar kawasan penalti selepas melepasi kawalan tiga pemain pertahanan lawan bagaimanapun diselamatkan dengan cemerlang Nguyen Manh bagi menghalang gawangnya daripada dibolosi.
Nguyen Manh Dung terus hampa ketika permainan memasuki minit ke-116 selepas tandukan lambung dilakukannya dalam kawasan penalti sudah pun menewaskan Azri tetapi hanya sedikit melewati palang gol.
30 minit masa tambahan juga masih belum mampu untuk mencari pemenang yang akhirnya terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Azri Ghani muncul wira buat KL City apabila beliau cemerlang dalam menepis sepakan ketujuh Viettel yang diambil Duy Thuong Bui sekali gus membawa pasukannya ke final untuk bertemu PSM Makassar.
Sepakan penalti:
Kuala Lumpur City
1) Paulo Josue (Gol)
2) Irfan Zakaria (X) – Melewati palang gol
3) Hadin Azman (Gol)
4) Romel Morales (Gol)
5) Giancarlo Gallifuoco (Gol)
6) Zhafri Yahya (Gol)
7) Akram Mahinan (Gol)
Viettel FC
1) Nguyen Huang Duc (Gol)
2) Ho Khac Ngoc (Gol)
3) Nguyen Manh Dung (Gol)
4) Tran Danh Trung (X) – Terkena tiang gol
5) Phan Tuan Tai (Gol)
6) Duong Van Hao (Gol)
7) Duy Thuong Bui (X) – Diselamatkan Azri Ghani