Nama bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini disebut-sebut bakal menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
Esok Presiden KLFA, Khalid Samad yang telah menerajui persatuan itu sejak 2019, dikhabarkan akan melepaskan jawatannya dalam Kongres KLFA kali ke-33 di ibu negara sekali gus kerusi No. 1 badan induk itu bakal menjadi tumpuan selepas dikosongkan.
Sejurus pengunduran Khalid, beberapa nama besar telah dikaitkan dengan jawatan ini antaranya Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim tetapi nama Zahid dikait rapat untuk menjadi Presiden KLFA baharu bagi musim 2022.
Difahamkan, Zahid memiliki pengalaman menerajui kelab bola sepak PDRM FC dengan memenangi Liga Premier 2014 dan mendapat slot Liga Super 2015 sebelum ini dan Zahid dikatakan menjadi salah satu calon ideal untuk menjadi penganti kepada Khalid sebagai Presiden KLFA baharu.
Ini kerana Zahid antara salah seorang pemimpin politik yang sentiasa berminat dengan sukan bola sepak tempatan dan beliau dijangka boleh menjadi Presiden KLFA jika diberikan peluang berbakti kepada kelab yang memenangi TM Piala Malaysia yang menyambut ulangtahun ke-100 pada tahun lalu.