Pengelola Liga Malaysia, Liga bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Stuart Ramalingam menyatakan mereka sedang memperhalusi cadangan untuk menggunakan peraturan Financial Fair Play (FFP) bagi mengawal perbelanjaan pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia.

Stuart berkata demikian ketika beliau mengulas mengenai pasukan yang sedang menghadapi krisis tunggakan gaji dimana beliau mendedahkan hampir separuh kelab yang beraksi dalam saingan Liga Super menghadapi masalah tersebut.

Menurut Stuart, badan yang melakukan proses permohonan Lesen Kebangsaan, First Instance Body (FIB) memerlukan sedikit masa untuk mengumpul maklumat tambahan berkenaan dokumen yang dikemukakan oleh beberapa kelab Liga Super untuk bertanding dalam saingan musim depan.

MFL
Sumber Gambar: FAM

Beliau turut menggesa agar mana-mana pemain yang tidak menerima gaji agar segera membuat aduan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak ­Profesional Malaysia (PFAM) ­dan tidak menggunakan sosial media sebagai tempat untuk mendapatkan gaji mereka.

FFP dicadangkan oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) dan modul ini dianggap boleh mengawal perbelanjaan pasukan agar tidak berbelanja melebihi kemampuan mereka.

“Protokol FFP ini sedang diperhalusi sebelum ­diperkenalkan dalam Liga Malaysia. Bagaimanapun, MFL ingin menegaskan bahawa semua kelab harus bertanggungjawab sepenuhnya apabila menguruskan perbelanjaan mereka. Ini mesti dilakukan untuk memastikan mereka tidak terjebak dengan kelewatan gaji,” kata menurut laporan The Star.

Antara pasukan yang berdepan isu tunggakan gaji ialah Negeri Sembilan dimana ketua pasukan, Nasrullah Hanif Johan berharap pihak pengurusan NSFC dapat menyelesaikan masalah tunggakan gaji secepat mungkin sebelum menghadapi baki tiga perlawanan Liga Super musim ini.

“Kami berharap pihak pengurusan kelab (NSFC) jika boleh dapat menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain secepat mungkin untuk kepentingan pemain dan pasukan.

“Secara peribadi sebolehnya saya tidak mahu fokus dan semangat rakan-rakan terganggu disebabkan masalah tunggakan gaji ini sedangkan tugas mengharungi cabaran Liga Super musim ini belum berakhir.