Isu tunggakan gaji dalam Liga Malaysia nampaknya masih berterusan apabila pemain Negeri Sembilan (NSFC) mengakui berdepan masalah berkenaan sehingga menganggu fokus mereka.
Baca Juga:
- Setahun Menunggu, Tunggakan Gaji Bekas Pemain Sarawak United Belum Selesai
- Isu Tunggakan Gaji: Pemilik Melaka United Bakal Didakwa Di Mahkamah
- CEO Tepis Tohmahan Pemain Kelantan Beraksi Sambil Lewa Kerana Isu Tunggakan Gaji
Perkembangan itu didedahkan oleh penolong ketua pasukan NSFC, Nasrullah Hanif Johan menerusi laporan dalam Berita Harian.
Mereka berharap pihak pengurusan NSFC dapat menyelesaikan masalah tunggakan gaji secepat mungkin sebelum menghadapi baki tiga perlawanan Liga Super musim ini.
“Kami berharap pihak pengurusan kelab (NSFC) jika boleh dapat menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain secepat mungkin untuk kepentingan pemain dan pasukan.
“Secara peribadi sebolehnya saya tidak mahu fokus dan semangat rakan-rakan terganggu disebabkan masalah tunggakan gaji ini sedangkan tugas mengharungi cabaran Liga Super musim ini belum berakhir.
“Menjadi hasrat kami untuk memberikan persembahan terbaik dalam baki tiga perlawanan Liga Super dan mengharapkan pasukan dapat memenangi kesemua baki perlawanan berkenaan,” kata Nasrullah Hanif.
Difahamkan pemain pasukan berkenaan belum menerima gaji bagi bulan Ogos dan September sehingga memberi kesan kepada urusan harian mereka.
Hai Tuan CEO dan Top Management sekalian, dengar cerita gaji bulan Ogos belum bayar… iya,Pasukan lain ada yang lagi teruk, tapi tolong la ada sikit perasaan malu tu…
— TJs (@TheJangsN9) September 27, 2023
Betul ke? MG9 masih santai kat tepi padang. Usop dah dua hari hilang. Gaji sama2 tak dapat, tapi hanya pemain tempatan yang kena lanyak, yang makan maki. Kebal betul pemain import. Lupa agaknya, 2nd half baru ni, local je main, bocor sebiji pon sebab offside trap tak rehearsal.
— TJs (@TheJangsN9) September 20, 2023
Berdasarkan tinjauan di media sosial, penyokong Negeri Sembilan sebelum ini sudah dapat menghidu masalah yang melanda pasukan tersebut apabila skuad kendalian K. Devan itu tewas dalam 4 perlawanan berturut-turut.
NSFC tewas 3-1 kepada Sabah pada 26 Ogos lalu dan kemudian tersingkir di peringkat suku akhir Piala Malaysia 2023 selepas dibelasah JDT dengan aggregat 7-1.
Kemerosotan prestasi pasukan itu berterusan apabila turut kalah 0-1 kepada Perak pada aksi Liga Super di halaman sendiri minggu lepas sekaligus mengundang kemarahan dalam kalangan penyokong setia.