Manchester United dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang prolifik Iran, Mehdi Taremi bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan itu pada musim baharu EPL.

Menurut laporan Man Utd News, kemampuan Taremi menjaringkan 31 gol dalam semua pertandingan musim lalu, serta turut melakukan 14 umpanan gol bersama kelab Portugal, FC Porto telah menarik minat pengendali Manchester United, Erik Ten Hag.

Secara keseluruhan, Taremi telah meledak 58 gol dalam 99 penampilan sejak menyertai Porto pada musim 2020.

Ten Hag memerlukan penyerang berbisa pada jendela perpindahan kali ini, tetapi pembelian pemain tengah Chelsea, Mason Mount pada harga 60 juta pound (RM306.78 juta) menjejaskan bajet mereka.

Dengan hanya 65 juta pound (RM332.35 juta) tinggal untuk bajet jendela perpindahan musim panas ini, sukar bagi Ten Hag mencari penjaga gol dan penyerang berkualiti serentak.

Taremi adalah pilihan yang lebih murah dan Porto sedia menerima tawaran melebihi 17 juta pound (RM86.92 juta).

Taremi juga adalah penyerang utama skuad kebangsaan Iran. Beliau telah beraksi dalam saingan Piala Dunia 2022 dan turut membantu negaranya layak ke separuh akhir Piala Asia 2019.

Jika kemasukan Taremi menjadi kenyataan, beliau akan menjadi pemain Iran yang pertama menyarung jersi Manchester United.

Sebelum ini, seorang lagi pemain Asia turut dikaitkan dengan perpindahan ke Man United iaitu pertahanan tengah Korea Selatan, Kim Min Jae.

Prestasi cemerlang Kim Min Jae membuatkan dia digelar antara bek tengah terbaik dunia pada musim 2022/23. Di mana Kim Min Jae membantu Napoli menjuarai Serie A pertama kelab itu selepas 1990.

Selain daripada kejuaraan Serie A, Kim Min Jae turut memenangi anugerah Pertahanan Terbaik Tahunan Serie A. Anugerah yang sebelum ini pernah dimenangi oleh Kalidou Koulibaly, Stefen de Vrij, Cristian Romero dan Gleison Bremer.

Adakah Man United akan menandatangani dua pemain Asia musim ini? Sama-sama kita nantikan.