Kelab Bola Sepak Sri Pahang (SRP) nampak serius untuk memberikan saingan sengit dalam Liga Malaysia musim ini apabila mereka mengumumkan dua lagi pemain import baharu yang pernah beraksi di pentas eropah.
Dua pemain tersebut ialah penjaga gol tinggi lampai dari Mali, Mamadou Samassa dan penyerang kacukan Laos-Perancis, Billy Ketkeophomphone yang sempat membuat penampilan sulung dalam saingan Piala Suzuki AFF di Singapura bulan lepas.
Samassa berpengalaman beraksi di Ligue 1 bersama Guingamp dan Troyes sebelum berhijrah ke Greece untuk bermain dengan Sivasspor dan terbaru Levadiakos.
Berusia 31 tahun, beliau pernah mewakili Perancis di pelbagai peringkat umur sebelum membuat penampilan bersama skuad kebangsaan Mali di peringkat senior, di mana dia pernah membantu negaranya itu menduduki tempat ketiga di Piala Negara-Negara Afrika 2013.
Kehadiran Samassa menyaksikan Sri Pahang kini mempunyai empat penjaga gol sekaligus membayangkan betapa pengendali pasukan itu, Christophe Gamel cukup serius dalam memantapkan barisan belakang.
Memperkenalkan, penjaga gol tinggi lampai dari Mali, Mamadou Samassa sebagai rekrut terbaru Sri Pahang bagi musim 2022! pic.twitter.com/AykO5ZlcFW
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) January 28, 2022
Manakala Billy menjadi taruhan terbaru barisan depan skuad tok gajah untuk berganding dengan penyerang dari Jordan, Mahmoud Zatara.
Sri Pahang adalah pasukan Asia pertama yang disertai oleh pemain itu yang memulakan karier bolasepak profesionalnya dengan kelab Ligue 1 Perancis, Strasbourg pada tahun 2009.
Beliau juga pernah menyertai kelab Ligue 2, AJ Auxerre dan sempat menjadi rakan sepasukan kepada bekas pemain import Pahang, Dickson Nwakaeme dalam kelab Ligue 1, Angers SCO pada musim 2016.
Another french-connection, selamat datang ke Sri Pahang FC, Billy Ketkeophomphone!
Pemain skuad kebangsaan Laos berasal dari Perancis ini menjadi taruhan terbaru barisan depan skuad tok gajah. pic.twitter.com/4e5vZPPpYM
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) January 28, 2022
Pada musim lepas, Billy beraksi dengan pasukan Ligue 2, USL Dunkerque dan berjaya menjaringkan 3 gol dalam 25 penampilan. Berdasarkan rekod, Billy telah mengumpulkan 6 gol dalam 53 penampilan Ligue 1 dan 23 gol dalam saingan Ligue 2.
Billy juga pemain pertama dari Laos yang beraksi dalam Liga Malaysia jika perpindahan ini menjadi kenyataan. Kehadirannya sedikit sebanyak akan menarik minat peminat bola sepak dari Laos untuk mengikuti perkembangan Liga Malaysia.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Lim Teong Kim Nafi Minta Gaji Tinggi, TMJ Balas “Jangan Nak Temberang”
Tiada Lagi Zainal Abidin, Melaka United Umum Risto Vidaković Sebagai Ketua Jurulatih Baharu
Tiga Pasukan Liga Super Bakal Berentap Dalam Piala Menteri Besar Terengganu
FAM Dapat RM10 Juta Daripada Kerajaan Untuk Pembangunan Bola Sepak