Pemain pertahanan kiri Manchester United, Luke Shaw menganggap kekalahan kelab tersebut ditangan Newcastle United adalah satu perkara yang tidak boleh diterima.

Baca Juga:

Beraksi di gelanggang lawan, Manchester United terpaksa akur dengan keampuhan aksi dipamerkan skuad kendalian Eddie Howe itu yang menyaksikan Joe Willock dan Callum Wilson meledakkan jaringan pada babak kedua.

Keputusan itu menyaksikan Newcastle United merampas kedudukan ketiga dan kini terikat 50 mata dengan Manchester United tetapi memiliki kelebihan perbezaan jaringan.

“Saya merasakan Newcastle berjaya menewaskan kami kerana keghairahan, lapar, keinginan dan sikap untuk memenangi perlawanan ini.”

“Mereka jelas mempunyai motivasi yang lebih tinggi berbanding apa yang kami pamerkan dan itu tidak mungkin. Ia memang tidak boleh diterima.”

“Kami tahu bahawa ia merupakan satu perlawanan yang hebat pada hari ini dan mereka lebih mahukannya [kemenangan]. Di Manchester United, ia tidak mungkin berlaku.”

“Ia adalah satu tempat [merujuk kepada St James’ Park] yang sangat sukar untuk datang dan jika kami tidak datang dengan perasaan ghairah dan lapar, kami akan menderita. Itulah yang berlaku di atas padang.”

“Kami tidak banyak mencipta peluang dan saya berfikir anda boleh mengatakan ia terjadi sejak sebelum rehat tugasan antrabangsa.”

“Tahap kami telah menurun dan ia sangat jelas kelihatan pada perlawanan hari ini,” ujar Luke Shaw menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi Manchester United.