Juara Liga Singapura (S-League), Lion City Sailors menunjukkan kesungguhan mereka dalam mendapatkan pemain berstatus bintang dimana kelab tersebut dilaporkan mahu menandatangani bekas penyerang skuad kebangsaan Brazil, Leandro Damião.

Perkara ini dikongsikan oleh Lions of Asia di laman media sosial Twitter dimana selain memburu khidmat Leandro, Lion City juga mahu mendapatkan khidmat penyerang dari Afrika Selatan, Lars Veldwijk setelah sebelumnya dikaitkan dengan penyerang kebangsaan Korea Selatan, Kim Shin-wook.

Leandro Damiao merupakan penyerang yang mempunyai ketinggian 1.87 meter dan beliau beraksi bersama kelab Jepun, Kawasaki Frontale. Pada musim 2020, pemain berusia 32 tahun itu membantu Kawasaki memenangi trofi J1 dimana Kawasaki menamatkan saingan dengan perbezaan 13 mata dihadapan pasukan tempat kedua, Gamba Osaka.

Bekas pemain International dan Real Betis itu menjadi sebahagian daripada skuad B-23 tahun Brazil yang beraksi dalam temasya sukan Olimpik 2012 dimana beliau muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 6 gol dan membantu Brazil memenangi pingat perak.

Bersama skuad senior, Leandro beraksi sebanyak 17 perlawanan dan beliau menyumbang tiga jaringan, dengan jaringan pertama hadir pada aksi persahabatan menentang Ghana di Craven Cottage pada 2012.

Musim ini, beliau membantu Kawasaki menduduki tangga teratas dalam saingan J1 serta memimpin carta penjaring terbanyak dengan perolehan 17 gol, berkongsi tempat dengan penyerang Yokohama F Marinos, Daizen Maeda.

Seorang lagi penyerang tinggi lampai yang diburu Lion City Sailors, Lars Veldwijk (1.97 meter) juga beraksi di Asia dimana beliau menyarung jersi Suwon FC dalam saingan Liga Korea. Musim lalu, beliau beraksi bersama Jeonbuk Hyundai Motors.

Dengan nama-nama besar seperti Kim Shin-wook, Leandro dan Veldwijk yang dikaitkan dengan Lion City, kita boleh melihat bahawa kelab ini mempunyai perancangan yang besar serta tidak memandang rendah saingan AFC Champions League (ACL) musim hadapan.

Lion City Sailors sebelum ini dikenali sebagai Home United dan merupakan antara kelab terkaya yang bercita-cita tinggi untuk menjadi pasukan yang digeruni di Asia selepas diambil alih oleh pengasas Shopee iaitu Forrest Li.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Darren Lok Wajar Dipertimbangkan Untuk Disenaraikan Hadapi Piala AFF Suzuki

Brad Maloney: Pintu Sentiasa Terbuka Untuk Pemain Lain

JDT:”Marshall Berdiri Membentuk ‘Human Barricade’, Marshall Diberi Amaran Kerana Menonton Perlawanan.”