Lima pemain muda berbakat daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) kelmarin telah berangkat ke Jepun untuk menjalani latihan dengan Akademi kelab J-League, Cerezo Osaka.

Mereka dipilih berdasarkan prestasi cemerlang sebagai lima pemain terbaik dalam program ‘Asean Dream Project’ yang dianjurkan oleh Cerezo Osaka, Yakult dan Stesen Televisyen Osaka pada bulan Jun lalu.

Lima pemain tersebut ialah Muhammad Haikal Raja Muhammad Zahari dan Muhammad Danial Haiqal Mohd Shaipol daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Muhamad Afiq Norizan daripada Sekolah Sukan Negeri Melaka, Muhammad Farizzudin Adham Batcha daripada Sekolah Sukan Negeri Selangor serta pelajar Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi, Anas Nadawi Shaharudin.

Program ‘Asean Dream Project’ tersebut bertujuan untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan negara Asia Tenggara dengan lima pemain terbaik dari negara Malaysia, Thailand dan Myanmar dibawa menjalani latihan bersama akademi kelab itu.

D9u5C5dUcAIZDOy-1024×621

Bagi Danial Haiqal, beliau tidak mahu melepaskan peluang ini untuk memikat barisan kejurulatihan Cerezo Osaka meskipun terpaksa mengorbankan sambutan Hari Raya Aidiladha bersama keluarga pada hujung minggu ini.

“Bagi saya, ia adalah platform terbaik buat kami semua selepas melakukan persiapan rapi dan sudah tentu tidak mahu mempersia-siakan apa yang ada kali ini.

“Pada masa sama, kami juga tahu peluang seperti ini kebiasaannya sukar untuk diperoleh buat kali kedua, jadi inilah masanya untuk kami lakukan segalanya,”katanya dalam Sukan Sinar

67630307_1142442869274536_833064930612609024_n
Sesi meet and greet pemain bawah 15 tahun (B-15) menerusi Program Asean Dream Project 2019 bersama pemain Malaysia di Kelab Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh. FOTO: Sportflex Malaysia

Sementara itu, Afiq mengakui beliau dan rakan-rakannya sudah tidak sabar beraksi untuk mempamerkan bakat mereka serta akan melakukan yang terbaik untuk memikat jurulatih.

“Apabila sudah berada pada tahap ini, adalah menjadi satu kerugian jika kami semua tidak pamerkan segala kemahiran dan bakat yang ada.

“Sudah tentu pencarian bakat muda kelab Jepun akan ada sepanjang kami beraksi di sini, jadi ini adalah masa terbaik untuk kami buktikan kepada mereka dan tidak mustahil kami mampu mengikat kontrak di sini suatu hari nanti,” katanya dalam Utusan Malaysia