Pasukan Kedah Darul Aman sudah memulakan langkah untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Baca Juga:

Menurut perkongsian One Football di laman media sosial Twitter, kelab dari Utara tanah air itu dikhabarkan telah mengikat seramai 13 pemain yang beraksi untuk Akademi Mokhtar Dahari untuk memperkuatkan pasukan.

Tambah One Football, Kedah bakal mempunyai barisan pengurusan baharu musim hadapan dan perkara ini dilihat bakal menjadi kenyataan selepas Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar diumum sebagai pemilik saham terbesar kelab tersebut.

Selepas diumum sebagai pemilik saham terbesar dalam kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud mahu membangunkan sebuah pusat latihan Kedah yang bertaraf dunia dan diiktiraf oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

“Saya akan cuba membuat tanda aras untuk menjadikan training center Kedah ini bukan sekadar training center tetapi sebagai pusat tarikan tourist (pelancong) dari luar negara.

“Kita ada dua, tiga tapak tetapi kita bekerjasama dengan kerajaan negeri, insyaAllah apabila dapat tanah yang sesuai nanti kita akan lantik konsultan untuk buat rekaan 3D berdasarkan piawaian FIFA, kalau boleh, biarlah alang-alang buat, dapat FIFA punya endorsement,” katanya.

Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar Kini Pemilik Saham Terbesar KDA FC

Pada masa sama, KDA FC turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), atas segala jasanya dalam membantu pasukan bola sepak negeri Kedah selama ini.

“KDA FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Muhammad Sanusi, Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dan Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman dalam memacu dengan cemerlang pasukan bola sepak Kedah.

“Pemilikan saham oleh individu seperti Mohd Daud adalah langkah awal KDA FC ke arah penswastaan sepenuhnya sebelum 2023,” tambahnya.

Setakat ini, Aidil Sharin masih diberi tanggungjawab sebagai ketua jurulatih dan masih belum pasti sama ada pengurusan baharu Kedah Darul Aman mahu mengekalkan beliau sebagai pengendali atau sebaliknya bagi menghadapi saingan musim hadapan.