Bulan lepas, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail mendedahkan mulai tahun 2020, pihaknya mungkin akan meletakkan tanda harga kepada semua pemain dalam Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Ia bermakna mana-mana pasukan liga tempatan atau kelab dari luar negara yang berminat untuk mendapatkan pemain tersebut, perlu membayar sejumlah wang pampasan yang mencecah lebih RM200,000 kepada AMD.

Mengulas mengenai isu tersebut, bekas pengarah AMD, Lim Teong Kim berkata dalam mstar mempersoalkan tindakan MSN mengambil langkah tersebut dan berpendapat AMD sepatutnya berperanan untuk menyumbangkan pemain berkualiti bagi membantu sukan bola sepak negara kerana sebahagian dana yang dilaburkan datangnya daripada duit rakyat.

“Kita perlu ingat bahawa AMD adalah sebuah akademi yang diuruskan oleh MSN. Duit yang MSN dapat itu adalah daripada kerajaan. Dan kerajaan mendapat duit itu daripada rakyat.

“Mengapa sekarang baru merancang untuk berbuat demikian? Sepatutnya sebelum ini lagi sudah digariskan dalam SOP (Prosedur Operasi Standard).

“Tetapi kalau pemain-pemain muda ini berlatih bersama sesebuah kelab, tanda harga ini memang patut dibuat, seperti yang berlaku di kelab-kelab Eropah. Sebab itulah semua negeri perlu ada akademi sendiri jika ingin ‘menjual pemain’,” jelasnya kepada mStar.

Lim-Teong-Kim
Kenangan Lim Teong Kim ketika melatih pemain Akademi Mokhtar Dahari di eropah.

Beliau juga menyifatkan MSN bukan sebuah persatuan bola sepak (FA) negeri yang terikat di bawah peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Justeru itu, ianya tidak wajar badan kerajaan itu bertindak sebagai “penjual pemain” kepada kelab profesional.

“Kalau pergi ke Fifa (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) sekali pun, ia memang tidak boleh kerana MSN adalah sebuah badan kerajaan bukan pertubuhan bola sepak profesional.

“Sekarang ini AMD sudah membuktikan ramai pemain muda yang bagus dilahirkan, jadi sudah tentu banyak kelab yang berminat.

“Satu masalah akan timbul apabila MSN meletak tanda harga ini dan kelab-kelab negeri seperti JDT (Johor Darul Ta’zim) atau Selangor tidak mahu membeli mereka. Apa akan jadi kepada pemain-pemain ini? Adakah MSN akan menubuhkan sebuah pasukan (pemain AMD) untuk bermain dalam Liga Malaysia?

“Kita sendiri semua maklum beberapa kelab mengalami masalah pembayaran gaji pemain, macam mana pula mereka nak keluarkan wang untuk membeli pemain-pemain AMD? Kebenarannya adalah MSN tidak ada hak untuk menuntut wang kerana mereka bukan kelab profesional,” ujarnya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan program pembangunan bola sepak negara melalui pautan dibawah.

Bekas CEO NFDP Beri Penjelasan Mengenai Pampasan Atau ‘Development Fee’ Graduan AMD

FAS Tidak Gunakan ‘Jalan Belakang’ Dapatkan Pemain AMD

Saad Ichalelene Dilantik Sebagai Pengarah Teknikal NFDP Yang Baharu

Sumber