Sesi soal jawab DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) bersama peminat yang diadakan malam tadi bukan sahaja berkisar kepada kelab bola sepak gergasi tanah air itu sahaja tetapi turut melibatkan Lim Teong Kim.
Baca Juga:
- RASMI: Lim Teong Kim Dilantik Sebagai Ketua Jurulatih Perak FC
- TMJ Anggap Gaji Lim Teong Kim Terlalu Tinggi Untuk Peringkat Pembangunan
- Lim Teong Kim Nafi Minta Gaji Tinggi, TMJ Balas “Jangan Nak Temberang”
Malah, pelantikan Lim Teong Kim selaku ketua jurulatih baharu Perak turut mendapat tumpuan peminat Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bertanyakan kepada TMJ untuk mengulas mengenai kehadiran pengendali kelahiran Melaka itu.
Sebagai kelab yang pernah berunding dengan Teong Kim untuk membimbing salah satu daripada pasukan JDT, TMJ pastinya mempunyai pendapat tersendiri berhubung kehadiran jurulatih tersebut ke Perak.
“Berkenaan dengan soalan pertama tadi, sama ada Perak yang betul-betul kaya atau dia (merujuk kepada Lim Teong Kim) menerima gaji lebih kecil kerana tiada kerja.”
“Itu sahaja ceritanya. Saya sangat berterus-terang (straightforward),” ujar Tunku Ismail.
Seperti diketahui pada Januari lalu, TMJ telah mendedahkan bahawa Teong Kim pernah meminta gaji sebanyak €70 Ribu hingga €80 Ribu atau sekitar RM330-380 ribu sebulan dan membawa dua hingga tiga pembantu sewaktu memohon untuk bekerja bersama JDT.
Teong Kim kemudiannya menafikan perkara tersebut dengan mengatakan; ”Maaf Tunku, apa yang kamu kata tidak benar. Anda mempersoalkan kredibiliti dan kemampuan saya sebagai jurulatih. Saya cabar anda beri saya satu pasukan untuk melatih.”
Penafian itu bagaimanapun ditempelak oleh TMJ yang mengatakan bahawa menjelaskan pasukan kewangan JDT mengetahui berapa jumlah yang diminta oleh bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu.