Sesi pemilihan pemain Kelab Bolasepak MNY (MNY FC) bagi menghadapi saingan Liga M3 2021 telah menggamit kehadiran beberapa bekas pemain yang pernah beraksi dalam kancah Liga Super.
Antara pemain berpengalaman yang hadir mencuba nasib ialah bekas penjaga gol skuad Liga Super Perak musim 2020, Khairul Amri Salehuddin, Norfiqrie Talib (Kedah) serta beberapa pemain dari Perak II dan Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak(PKNP).
Namun, ada perkara lebih menarik untuk diperkatakan pada sesi yang diadakan selama dua hari di Padang YMCA, Ipoh itu apabila dua pemain Orang Asli, Refon A/L Roslan dan Muhammad Haikell telah berjaya menarik perhatian panel pemilihan.
Keyakinan tinggi dan aksi bertenaga ditampilkan kedua-dua pemain yang berusia 19 tahun itu menyaksikan mereka tersenarai bersama 42 pemain lain untuk sesi pemilihan fasa ketiga selama seminggu bermula Selasa ini sebelum barisan kejurulatihan MNY FC mengumumkan senarai lengkap pemain terpilih.
Beraksi di posisi serangan, Refon merupakan anak kelahiran Lojing, Kelantan manakala Haikell yang beraksi di jentera tengah pula berasal dari Rancangan Penempatan Semula (RPS), Kemar, Gerik.
Ketua jurulatih MNY FC, S. Sathia Kumaran ketika dihubungi jelas tertarik melihat aksi ditampilkan kedua-dua pemain yang disifatkannya begitu meyakinkan.
“Sejujurnya saya teruja dengan aksi yang ditunjukkan oleh dua pemain ini ketika bersaing dengan pemain-pemain yang lebih berpengalaman.”
“Mereka memang ada bakat semula jadi dan ia sememangnya sesuatu yang kami mahukan sekali gus untuk berikan mereka peluang beraksi di peringkat lebih tinggi,” ujar Sathia Kumaran.
Difahamkan, Refon dan Haikell merupakan produk hasil inisiatif pihak pengurusan MNY FC yang terlebih dahulu mewujudkan pasukan pembangunan sejak Disember lalu.
Barisan kejurulatihan yang diketuai Pengarah Teknikal, Zulfa Arnis Marah Sutan telah mengambil pendekatan dengan melakukan ‘scouting’ ke kawasan tempat tinggal kaum Orang Asli di Gerik untuk mengenalpasti bakat-bakat besar dalam bola sepak yang boleh diketengahkan.
Dalam perkembangan sama, bekas pemain kebangsaan, Hafiz Kamal sah menyertai MNY FC dan ternyata kehadirannya mampu menjadi tunjang kepada kekuatan pasukan tersebut.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.
Thai League Paling Bernilai Di Asean, Liga Super Duduki Tangga Keempat
Chong Yee Fatt Calon Ganti Mehmet Durakovic Kendalikan Perak