Nama pemain tengah, Mohd Hafiz Kamal mungkin sudah semakin dilupakan oleh para peminat apabila beliau sudah tidak lagi menyarung jersi pasukan dalam saingan Liga Super atau Liga Premier.
Kecederaan panjang dialami ketika bersama Perak pada penghujung musim 2017 boleh dikatakan menjadi antara penyebab prestasinya tidak lagi seperti kegemilangan kariernya terutama ketika menyarung jersi Pahang.
Keadaan itu menyebabkan beliau terpaksa untuk berhijrah ke Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) dan kemudiannya musim lalu memilih KL Rovers tetapi sayangnya saingan Liga M3 terpaksa dibatalkan susulan wabak melanda.
Namun, jaringan menarik dihasilkan pemain berusia 34 tahun itu dalam satu perlawanan persahabatan bertemu skuad Piala Presiden Selangor pada Sabtu lalu jelas membuktikan kualiti hebat yang dimilikinya masih lagi berbisa.
Bekas pemain kebangsaan itu telah meledakkan satu jaringan daripada jarak jauh bagi membolehkan pasukan baharunya mencatatkan kemenangan 1-0.
Jaringan yang pastinya mengingatkan kita semua kepada kehebatan serta kemampuan Hafiz Kamal terutamanya dalam menyempurnakan sepakan percuma dengan cukup cemerlang.
Sebagai makluman, Hafiz Kamal bakal mengetuai cabaran pasukan daripada Ipoh, MNY FC yang akan menyertai saingan Liga M3 2021 buat pertama kali.
Selain Hafiz, beberapa pemain yang pernah beraksi dalam kempen Liga Super turut bakal memperkuatkan pasukan ini seperti Muhammad Afiq Azmi, Norfiqrie Abdul Talib, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri, Khairul Amri Salehuddin dan Hamizul Izaidi Zulkifli.
Baca artikel lain dari kami mengenai MNY FC dan Liga M3:
Liga M3: Bakat Muda Orang Asli Curi Tumpuan Dalam Sesi Pemilihan Pemain MNY FC
Pemain Dan Jurulatih Asing Tidak Dibenarkan Dalam Saingan Liga M3 2021