Kelab yang akan beraksi dalam saingan Liga M3 2021, MNY FC bakal diperkuatkan dengan kehadiran tenaga berpengalaman selepas tiga bekas pemain kebangsaan akan bersama pasukan dari Ipoh itu.
Tiga pemain dimaksudkan ialah duo penyerang, Mohd Afiq Azmi dan Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri bersama-sama pemain tengah, Mohd Hafiz Kamal yang terlebih dahulu mengesahkan kehadirannya bagi memantapkan kelab tersebut.
Afiq yang kini berusia 32 tahun hadir dengan reputasi selaku pemenang Piala Malaysia 2012 bersama Kelantan dan 2015 sewaktu menyarung jersi Selangor.
Selain dua pasukan tersebut, anak kelahiran Perlis itu turut pernah bersama Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (NS) Matrix, Puchong Fuerza dan pasukan terakhir diwakilinya pada musim 2019, Pulau Pinang.
Sementara itu, Fazrul Hazli yang merupakan seorang pemain lincah telah mencuri tumpuan ketua jurulatih MNY FC, S. Sathia Kumaran untuk turut sama tersenarai dalam barisan 27 pemain terpilih.
Namanya mula melonjak ketika menjadi nadi kekuatan buat jentera serangan Perak pada musim 2016 dimana pada ketika itu beliau pernah dipanggil menyertai sesi latihan pusat skuad kebangsaan berikutan aksi cemerlang ditampilkannya.
Lebih menarik untuk diperkatakan, kehadiran dua pemain berpengalaman itu dilihat mampu menjadi model ikutan serta memberikan tunjuk ajar buat penyerang muda dari kaum Orang Asli, Refon A/L Roslan yang turut tersenarai.
Manakala di jentera penjaga gol juga tidak kurang hebatnya apabila MNY FC mempertaruhkan bekas penjaga gol skuad Liga Super Perak musim lalu, Khairul Amri untuk menggalas tanggungjawab bagi mengawal benteng terakhir pasukan.
Dalam perkembangan sama mengenai kelab tersebut, satu majlis pengenalan pemain, penaja dan pelancaran pasukan akan diadakan pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.
Liga M3: Bakat Muda Orang Asli Curi Tumpuan Dalam Sesi Pemilihan Pemain MNY FC
Berlin Leong Pemain Wanita Pertama Malaysia Beraksi Di Sepanyol