Perkembangan bola sepak wanita mungkin kurang diikuti oleh peminat bola sepak tempatan namun semalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendedahkan salah seorang daripada pemain skuad B-19 wanita kebangsaan kini beraksi untuk skuad wanita kedua C. F. Pozuelo di Sepanyol.
Beliau juga merupakan pemain kedua dari Malaysia yang beraksi di luar negara selepas Celine Chuang yang kini menyertai kelab bola sepak gergasi Jerman, FC Bayern Munich.
Berlin pernah beraksi untuk pasukan remaja wanita kebangsaan pada Kelayakan AFC B-19 pada 2018 dan JENESYS 2018 Japan-ASEAN Youth Sports Exchange pada 2019.
Dilahirkan dan membesar di Kuala Lumpur, Berlin atau nama sebenarnya, Leong Xin Ying, 19, telah memulakan perjalanan di bumi Sepanyol dan diberi peluang pertama untuk beraksi bersama pasukan belia C. F. Pozuelo (C. F. Pozuelo Juvenil A) pada Ogos 2019.
“Saya memulakan latihan serta beraksi buat kali pertama bersama pasukan belia C. F. Pozuelo. Latihan bersama kelab ini juga telah mendedahkan kepada saya mengenai teknik baharu serta kompleks dan ini telah meningkatkan keyakinan saya beraksi di atas padang.
“Walau bagaimanapun, saya terpaksa pulang ke Malaysia pada Mac 2020 kerana pandemik COVID-19,” kata Berlin.
Menerusi prestasi yang kian meningkat selain dedikasi beliau ketika berlatih sekembalinya ke Sepanyol selepas itu, Berlin akhirnya diberi peluang untuk membarisi skuad wanita senior kedua C. F. Pozuelo pada November 2020.
“Ini adalah satu penghormatan besar buat diri saya namun saya percaya bahawa terdapat banyak lagi yang perlu saya pelajari dan perbaiki.
“Saya akan terus memberikan yang terbaik untuk mengharumkan nama Malaysia di bumi Sepanyol,” ujarnya.
Menyifatkan peluang beraksi untuk skuad kedua wanita C. F. Pozuelo sebagai satu pengalaman yang sangat berharga, Berlin menyatakan latihan di sana adalah berbeza daripada apa yang pernah beliau jalani di tanah air, sebelum ini.
“Latihan di sini sedikit berbeza kerana ia meliputi aspek taktikal serta fizikal di dalam satu sesi. Saya tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri kerana telah menganggap jurulatih serta rakan pasukan sebagai keluarga di sini,” jelas Berlin.
Nama Berlin mula menjadi tumpuan di bumi Sepanyol selepas diturunkan buat kali pertama pada aksi menentang skuad wanita kedua Real Madrid pada 13 Disember 2020 selain berjaya membarisi kesebelasan utama pada aksi menentang Olimpico de Madrid pada 19 Disember 2020.
Selain itu, anak kepada Presiden Kelab Bola Sepak KL Cityboys, Leong Yok Kin ini juga bercita-cita untuk beraksi bersama skuad senior wanita C. F. Pozuelo selain mahu terus memberikan sumbangan kepada skuad wanita kebangsaan dalam pertandingan-pertandingan antarabangsa.
“Saya pasti impian setiap atlet adalah untuk mewakili negaranya dan saya juga tidak terkecuali. Sempena Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac ini, Harapan saya adalah untuk melihat sukan bola sepak wanita negara boleh mencapai tahap tertinggi serta bersaing bersama pasukan-pasukan gergasi,” tambah Berlin.
Baca artikel lain mengenai perkembangan pemain Malaysia yang beraksi di luar negara melalui pautan dibawah.
Nick Swirad Buat Penampilan Pertama Bersama Nongbua Pitchaya
Norshahrul Idlan Talaha Beri Pengesahan Akan Terima Medal Kejuaraan Thai League 2020/2021