Kebersihan adalah keadaan yang bebas daripada kotoran, termasuk debu, sampah, dan bau. Isu menjaga kebersihan sudah lama menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Namun, ia kembali popular apabila penyokong bola sepak Jepun menunjukkan teladan yang baik dengan mengutip sampah sebaik sahaja pasukan mereka menamatkan perlawanan di mana-mana stadium dari seluruh dunia.
Ramai dalam kalangan penyokong tempatan memuji dan sangat mengagumi mentaliti yang ditunjukkan oleh penyokong Jepun tersebut. Tetapi malangnya, peminat bola sepak tempatan gagal mempraktikkan apa yang telah dilakukan oleh penyokong Jepun dalam stadium bola sepak di Malaysia.
Penulis tertarik dengan langkah pengurusan Stadium Darul Aman dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengharamkan kemasukan kuaci ke dalam stadium. Ia adalah tindakan yang bijak bagi memastikan kawasan tempat duduk bersih dan lebih selesa.
Larangan kuaci ini telah dilaksanakan sejak musim 2017 dan peraturan ini masih kekal menjelang sepak mula Kelayakan AFC Champions League 2020 di antara Kedah menentang kelab dari Hong Kong, Wofoo Tai Po FC pada malam ini.
Satu perkara yang sering kita lihat selepas perlawanan liga tempatan adalah sampah sarap yang ditinggalkan oleh penyokong. Kulit kuaci, bekas makanan, dan kepingan tiket dapat dilihat bersepah di lantai dan kawasan tempat duduk. Ia memberikan imej yang buruk kepada pasukan dan di mata pelancong asing.
Para penyokong tegar selalu melaungkan kata-kata keramat seperti “This Is Our Home”, “Our Home Our Rules” dan sebagainya tetapi mereka sendiri pun tidak menjaga kebersihan ‘rumah sendiri’.
Walaupun ada petugas yang diupah untuk membersihkan kawasan itu, ia tidak bermakna anda boleh membuang sampah sewenang-wenangnya. Penyokong juga harus ada kesedaran bahawa menjadi seorang ‘cleaner’ itu merupakan kerja yang sangat mulia.
Membersihkan stadium ini, bukanlah pekerjaan yang boleh disiapkan dalam masa yang singkat. Oleh itu, kerjasama daripada semua pihak termasuk para penyokong sangat diperlukan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh makcik dan pakcik ‘cleaner’ stadium tersebut.
Bagi penulis, sebuah negara yang maju bukan diukur melalui berapa banyak bangunan pencakar langit yang dibina tetapi melalui mentaliti rakyatnya yang suka menjaga kebersihan. Kita perlu bermula sekarang.
Lagi artikel menarik mengenai perkembangan perlawanan Kedah menentang Tai Po FC melalui pautan dibawah.
Kelayakan ACL 2020: Kedah Hadapi Tai Po FC Tanpa Khidmat Shakir Hamzah
FC Seoul Menanti Pasukan Kedah FA Jika Layak Ke Saingan Play-Off AFC Champions League 2020