Kes perpindahan kontroversi pemain muda negara, Akhyar Rashid ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) nampaknya masih belum berakhir apabila Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan menuntut nilai pampasan yang lebih tinggi sepadan dengan pelaburan yang dibuat untuk membangunkan bakat pemain itu.

Malah, Setiausaha Agung KFA, Mohd Asmirul Anuar mendedahkan pihaknya bukan sahaja mengambil tindakan terhadap Akhyar tetapi turut mengambil langkah yang sama terhadap JDT.

Bagaimanapun, mereka masih menunggu kes yang melibatkan JDT berlangsung walaupun keputusan kes Akhyar Rashid sudah diketahui melalui Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur.

“Dalam hal ini kita ambil tindakan terhadap kedua-duanya iaitu Akhyar dan JDT. Kes Akhyar telah dibawa ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) yang mana kita dah dapat keputusannya sementara kes JDT masih belum berlangsung, masih ada di FAM.

“Kalau tak selesai di FAM atau keputusan itu masih belum memihak kepada kita, KFA akan teruskan kes itu ke pihak berwajib seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan di laman facebook Warta Kedah.

Kelab
Aksi Akhyar Rashid bersama skuad Harimau Selatan. FOTO: JST

Difahamkan Akhyar perlu membayar RM300,000  kepada KFA sebagai nilai pampasan latihan berbanding RM75,000 seperti yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Perkara ini didedahkan sendiri oleh pemilik kelab JDT iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui satu komen di laman instagram baru-baru ini.  TMJ juga menjelaskan Akhyar masih pemain JDT dan bayaran tersebut akan dilunaskan sendiri oleh pemain itu.

Namun Asmirul menyifatkan jumlah RM300,000 tersebut masih belum mencukupi dan pihaknya akan menuntut nilai tambahan yang membabitkan perbelanjaan lain seperti kos latihan dan sebagainya.

“Kalau ditambah dengan yuran perundangan dan sebagainya, KFA akan menerima kira-kira RM327,000. Tetapi bagaimana dengan soal latihan, perbelanjaan yang kita lakukan untuk ‘menaikkan’ pemain itu sebelum ini kerana jumlah itu juga sepatutnya diambil kira.

“Kita telah menerima nasihat dari peguam yang mengatakan boleh ‘masuk’ kali kedua yang memungkinkan nilai pampasan itu ditambah. Soal pemain itu mahu membuat rayuan untuk mengurangkan nilai pampasan, itu hak dia,” katanya.

KFA pada Januari lalu terpaksa membawa kes tersebut Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) setelah pelbagai saluran lain tidak menampakkan sebarang penyelesaian.

Namun, disebabkan tiadanya tribunal timbang tara yang sepatutnya diwujudkan oleh FAM menurut Artikel 67 Statut FAM, kes tersebut dibawa AIAC di Kuala Lumpur.

“Kita ada ruang kemuka hak dan Akhyar ada hak untuk merayu. Kita bergerak atas dasar profesional,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan kes Akhyar Rashid yang mungkin anda terlepas pandang.

TMJ: Kedah Yang Ambil Tindakan Terhadap Akhyar Bukan JDT

Keputusan Kes Akhyar Rashid Memihak Kepada Kedah FA

Sumber