Kelmarin, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), YAB Muhammad Sanusi Md Nor mengeluarkan kenyataan panas mengenai isu tunggakan gaji yang melibatkan pemain dan pegawai skuad Helang Merah musim ini.
Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menegaskan beliau tidak akan menggunakan duit rakyat untuk menyelesaikan tunggakan gaji bernilai RM10.6 juta yang ditinggalkan oleh kepimpinan lalu.
Difahamkan KFA sudah membayar gaji pemain dan pegawai untuk bulan Februari dan 40 peratus pada bulan Mac. Namun, masih ada 4 hingga 6 bulan lagi tunggakan.
Kenyataan daripada Sanusi itu turut mengecewakan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar dan menyifatkan bola sepak Malaysia tidak sepatutnya dipolitikkan.
“Saya sedih dan kecewa. Sebelum ini, ada janji-janji manis yang dibuat kepada kami oleh bekas presiden (Datuk Seri Mukhriz Mahathir), tetapi apa pun tak ada.
“Mempolitikkan bola sepak bukanlah perkara yang baik. Sepatutnya tidak ada isu mengenai gaji kami. Ini memberikan gambaran negatif.
“Sebagai pemain, kami juga perlu dibayar kerana kami pun mempunyai pelbagai komitmen,” katanya seperti dipetik dalam New Straits Times.
Baddrol yang telah beraksi bersama Kedah sejak tahun 2005 turut mendedahkan mood pasukan kini telah berubah dan bertukar kepada suasana suram. Terdapat juga beberapa pemain yang tidak bersemangat untuk menjalani latihan.
“Tiada wajah yang gembira dalam sesi latihan. Bukan sahaja pemain, jurulatih dan pegawai pasukan pun sama.
“Setakat ini, beberapa pemain sudah membuat aduan rasmi kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM),” jelasnya.
Kenyataan Baddrol juga memberi bayangan beberapa pemain dalam skuad itu akan angkat kaki berhijrah ke pasukan lain pada musim depan.
Baca artikel lain mengenai perkembangan isu tunggakan gaji Kedah yang pernah dilaporkan sebelum ini melalui pautan dibawah.
Presiden KFA: “Saya Tak Akan Guna Duit Rakyat Bayar Tunggakan Gaji Pemain Kedah”
Pemain Kedah Baru Terima 50 Peratus Gaji Februari, Mac Dan April Masih Tertunggak
Asmirul Anuar Umum Peruntukan RM2 Juta Untuk Langsaikan Tunggakan Gaji Pemain Kedah