Bulan jun lepas, pemain pertahanan tempatan, Azmeer Yusof mengejutkan para peminat bola sepak tanah air apabila mengumumkan keputusan untuk keluar daripada pasukan Kedah ketika saingan Liga Super masih mempunyai baki 7 perlawanan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pengundurannya itu tiada kaitan dengan masalah tunggakan gaji yang melibatkan skuad Helang Merah ketika itu dan turut memohon maaf kepada semua penyokong diatas tindakannya.

5 hari lepas, Azmeer memuat naik video khas di akaun YouTube miliknya bertajuk, “Punca utama Azmeer Yusof keluar dari Kedah FA” untuk menjelaskan kepada para peminat mengenai sebab-sebab beliau membuat keputusan tersebut.

Menurut Azmeer, walaupun kerjayanya itu dibayar dengan gaji puluhan ribu ringgit dan kehidupannya dilimpahi kemasyuran serta dijulang oleh peminat namun beliau masih tidak dapat ketenangan di dunia ini.

Justeru itu, beliau tekad keluar dari dunia bola sepak profesional untuk kembali ke jalan yang benar.

“Satu benda yang aku tak dapat iaitu ketenangan. Ketenangan itu, kita ada duit satu juta ke, dua juta ke, benda yang tak akan dapat dan susah nak dapat ini ialah ketenangan.

“Allah yang bagi ketenangan ini dengan cara kita mencari. Jadi, ketenangan ini yang aku tak dapat selama ini. Aku dah ada dalam dua dunia yang berbeza. Bola sepak dunia yang orang kata terkenal, ada duit semua, sekarang aku sudah tidak bergaji tetapi Allah bagi rezeki kat aku,” katanya.

Kedah
Sumber Gambar: mStar

Azmeer sebelum ini pernah berkongsi beberapa tindakan ‘bodoh’ yang pernah dilakukan olehnya seperti memiliki 5 kredit kad, pinjaman peribadi dan membeli 7 buah kereta.

Menyedari perkara itu, beliau mula melakukan tindakan drastik untuk menyelesaikan beberapa perkara berkaitan pengurusan kewangan yang lebih baik.

“Walaupun semua orang tengok aku macam tenang je muka, aku ada baca kat media sosial tapi orang tak tahu dibelakang, aku pernah memiliki banyak kereta, berhutang sana sini semua. Tapi bila aku berhenti main bola, dengan izin Allah, sekarang ni aku bebas dari hutang,” jelasnya.

Di sebalik kelincahan beraksi di padang bola, Azmeer juga turut mengambil berat hal kebajikan masyarakat Muslim. Beliau menjadikan sebuah rumah miliknya di Tongkang Yard, Alor Setar sebagai pusat pengajian al-Quran.

Tonton video ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perancangannya selepas keluar dari Kedah.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan Azmeer Yusoff yang pernah disiarkan dalam Vocket FC sebelum ini. 

Berkongsi Pengalaman Berkaitan Pengurusan Kewangan, Ini 9 Nasihat Azmeer Yusof Kepada Pemain Bola Sepak

Azmeer Yusoff: Jual Ikan Sehingga 1.3 Tan Sehari, Cari Pendapatan Tambahan Ketika PKP