Pemain pertahanan kiri, Azmeer Yusof keluar daripada persaraan apabila beliau disahkan menyertai kelab yang akan beraksi dalam saingan Liga M3 2022, BRM FC.
Kelab berpangkalan di Kuala Kangsar, Perak itu nyata telah memenangi hati Azmeer yang sekali gus menyaksikan pemain berusia 31 tahun tersebut memeterai kontrak selama setahun.
Azmeer bersama pemain berpengalaman dalam saingan Liga Malaysia seperti Mohd Noor Hazrul Mohd Mustafa dan Kamarul Effandi Abdul Rahim bakal menjadi tunjang kepada skuad yang dibimbing legenda bola sepak negara, Manja Man itu.
Pada 27 Disember 2020 ketika menyarung jersi Kedah dalam saingan Liga Super, Azmeer secara tiba-tiba mengumumkan persaraannya dengan alasan mahu memberikan tumpuan penuh terhadap bidang keusahawanan dan kebajikan Islam dimana beliau mengilhamkan idea pembinaan Pusat Pengajian Azmeer Yusof di Tongkang Yard, Alor Setar.
Ketika ditemui wakil Vocket FC dalam Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain BRM FC di Ipoh malam tadi, Azmeer mendedahkan sebab beliau memilih untuk kembali beraksi.
“Saya memilih untuk bersara kerana pada masa itu kerana saya target untuk membina pusat pengajian saya sendiri dan Alhamdulillah dalam masa setahun walaupun saya jangkakan dua tahun, tetapi dalam masa setahun sudah siap.”
“Dan juga segala perniagaan saya berjalan dengan baik dan setiap perniagaan juga sudah ada orang yang mengendalikannya. Jadi, saya rasa tiada masalah untuk saya kembali bermain bola sepak,” ujar Azmeer.
“Apa yang saya dengar daripada pihak BRM sendiri mengenai visi dan misi, ia jadi satu tarikan buat saya (untuk menyertai BRM).”
“Dalam tempoh dua minggu (perbincangan bersama BRM), saya sebenarnya sudah melakukan rundingan dengan pasukan lain tetapi ia tidak dapat dimuktamadkan.”
“Jadi, apabila saya berbincang dengan BRM, saya tertarik dengan sasaran yang diletakkan oleh BRM dan juga saya meletakkan sasaran untuk diri saya kerana selama ini saya bermain dalam Liga Super dan Liga Perdana (Premier).”
“Sekarang ini saya ingin mengambil pengalaman untuk bermain dalam Liga M3, sekurang-kurangnya saya ada satu sasaran yang mana saya pernah sasarkan dalam Liga Super serta Liga Perdana dan sekarang ini untuk Liga M3 pula.”
“Saya harap dengan apa yang saya sasarkan serta segala perancangan oleh jurulatih dan pengurusan, saya harap BRM terus maju dan sudah tentu kita target dapat naik ke Liga Perdana, InsyaAllah,” tambah Azmeer Yusof lagi.
Dalam pada itu, Azmeer turut memuji pengurusan BRM FC yang tetap berkeras mahukannya menandatangani kontrak profesional sekali gus menerima gaji ditetapkan.
Hal ini kerana sebelum ini beliau pernah menyatakan hasrat untuk bermain tanpa menerima sebarang bayaran.