Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) tidak akan tunduk kepada arahan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) yang mengarahkan mereka mengadakan kongres ke-31 dan pemilihan barisan kepimpinan baharu sebelum atau pada 31 Mei ini.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa menjelaskan pihaknya merancang untuk mengadakan kongres selepas Hari Raya Aidilfitri dan pemilihan barisan kepimpinan baharu dijangka diadakan pada hujung tahun ini.

Nokman Mustaffa
Sumber Gambar: Stadium Astro

“Kalau mereka (PJS) kacau lagi, kami akan guna peguam dan paling tinggi kami pergi (buat aduan) kepada FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).

“Kami tak peduli, apa nak jadi-jadilah. Kami sudah dapatkan pandangan daripada peguam dan mereka juga sedia membantu. Kenapa nak kena ikut PJS? Kami kena ikut (statut) sendiri,” kata Nokman menurut laporan Berita Harian.

Nokman turut menjelaskan campur tangan PJS sebenarnya membuatkan KLFA tidak dapat membuat mesyuarat.

“Sepatutnya mereka bagi kami selesai dulu (masalah dalaman). Saya nak soal satu saja, kenapa kes Selangor diam? kenapa bila Selangor pecat 43 ahli gabungan (PJS) tak ambil tindakan, tapi kenapa sibuk dengan KLFA,” tambahnya.